PEMINAT setia TFC mengharapkan FAM dan MFL dapat memberikan harga tiket rahmah final Piala Malaysia pada 8 Disember depan. -FOTO Ghazali Kori
PEMINAT setia TFC mengharapkan FAM dan MFL dapat memberikan harga tiket rahmah final Piala Malaysia pada 8 Disember depan. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat mempertimbangkan dengan memberikan harga tiket rahmah perlawanan akhir Piala Malaysia pada 8 Disember ini.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, sebagai tanda sokongan peminat kepada sukan bola sepak negara dan tanda terima kasih FAM serta MFL kepada penyokong, sudah tiba masanya badan induk bola negara menurunkan harga tiket pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Jelasnya, memandangkan ekonomi sesetengah peminat TFC yang kurang stabil selain terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil kerana sewa bas dan van melambung, langkah menurunkan harga adalah perlu.

Musim lalu MFL menetapkan tiket final Piala Malaysia membabitkan pertemuan JDT dengan Selangor FC berharga RM50 dan RM70 bagi tempat duduk terbuka, premium grandstand RM150 serta VIP grandstand RM200.

"Menjelang final Piala Malaysia bulan depan, isu harga tiket sangat dinantikan sama ada kekal, diturunkan atau dinaikkan.

"Bagi kami penyokong TFC sangat-sangat mengharapkan ada ihsan daripada pihak FAM dan MFL seperti mana badan induk itu memberi harga tiket rahmah bagi perlawanan Malaysia menentang Kyrgyzstan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 1:36 PM