FINAL Piala FA akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September depan. FOTO ARKIB NSTP
FINAL Piala FA akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September depan. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyokong Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah boleh menyediakan wang secukupnya untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil ini apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan harga tiket bagi final Piala FA, 10 September depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam, senarai harga tiket final Piala FA 2022 dikekalkan seperti final tahun lalu bermula dengan General Admission berharga RM50 dan RM70, Premium Granstand RM150 serta satu kategori baru VIP Grandstand RM200.

"MFL menetapkan empat 'tier' harga tiket bagi final Piala FA 2022 iaitu masih mengekalkan harga General Admission RM50 dan RM70 serta Premium Grandstand RM150 meskipun saban tahun berdepan dengan peningkatan kos penganjuran.

"Kali ini, MFL memperkenalkan tiket VIP Grandstand berharga RM200.

"Empat 'tier' tiket ini bagi memberi lebih pilihan kepada penyokong untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan final itu nanti," katanya.

Dalam pada itu, MFL turut mengumumkan 78,000 tiket perlawanan akan dijual dan menyerahkan urusan jualan tiket kepada setiap kelab untuk dijual kepada penyokong masing-masing.

Ini bagi memastikan tiket yang dijual dapat dibeli penyokong pasukan finalis secara sama rata dan adil.

Maklumat lanjut mengenai proses jualan tiket kepada penyokong akan dimaklumkan oleh pihak TFC dan JDT dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 3:02 PM