Pemilihan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa SNBJ yang tidak boleh digunakan bagi final Piala FA. FOTO NSTP
Pemilihan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa SNBJ yang tidak boleh digunakan bagi final Piala FA. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan hanya menerima bidaan daripada kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2023.

Menerusi kenyataan MFL memaklumkan bahawa setakat ini hanya JDT saja membuat bidaan selepas proses terbabit ditutup pada 24 Mei lalu.

MFL sebelum ini menetapkan bahawa pemilihan venue perlawanan akhir Piala FA akan dibuat menerusi bidaan terbuka kepada semua kelab Liga Malaysia bermula 19 Mei lalu.

Pemilihan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tidak boleh digunakan bagi final Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada 22 Julai depan.

"SNBJ masih dalam proses penambahbaikan sehingga Oktober jadi MFL tidak dapat menggunakan stadium itu bagi final Piala FA kali ini.

"Walaupun sudah dipertimbangkan, MFL juga tidak dapat menangguhkan perlawanan itu memandangkan kekangan kalendar pertandingan selepas Oktober yang padat dalam tempoh itu dengan pusingan akhir perlawanan Liga Super.

"Selain itu, permulaan kedua-dua Piala Malaysia dan Cabaran serta juga terdapat tarikh penting membabitkan tugasan antarabangsa pasukan kebangsaan (FIFA days). Pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang bermula September hingga Disember depan," jelas MFL.

Dalam tempoh bidaan yang dibuka pada 19 Mei l hingga 24 Mei itu, hanya JDT mengemukakan permohonan di mana tiada sebarang bidaan diterima MFL daripada kelab lain atau memohon lanjutan tempoh bidaan meskipun peringatan sudah diberikan kepada semua kelab.

Berikutan tiada bidaan diterima daripada kelab lain selain JDT, maka MFL mengesahkan bahawa SSI dipilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA.

Bagaimanapun sebarang perubahan berkenaan pemilihan venue perlawanan akhir Piala FA tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 7:25 PM