LIRA (kiri) adalah penjaring terbanyak Sang Kenari dalam kancah Liga Super selepas 14 perlawanan dengan meledak lapan gol. FOTO SYAHARIM ABIDIN
LIRA (kiri) adalah penjaring terbanyak Sang Kenari dalam kancah Liga Super selepas 14 perlawanan dengan meledak lapan gol. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KFA FC) membuat kejutan apabila membuat pengumuman pelepasan penyerang utamanya Willian Lira dari skuad Sang Kenari sebelum bermulanya jendela perpindahan kedua yang hanya akan bermula pada 5 Julai depan.

Menerusi maklumat yang disalurkan oleh media rasmi Sang Kenari pagi ini, KDA FC dan Willian Lira mencapai persetujuan bersama untuk berpisah selepas melalui beberapa perbincangan mendalam antara kedua-dua belah pihak.

"KDA FC bersetuju untuk melepaskan Willain Lira dengan rasa berat hati namun menghormati keputusannya untuk membawa haluan berbeza dalam tempoh pertengahan Liga Super ketika nisbah jaringannya cukup baik dalam setiap perlawanan.

"Walaupun penampilannya di awal musim menerima pelbagai reaksi kurang senang, namun pemain berasal dari Brazil ini tetap bangkit membuktikan ketajaman dengan membantu Sang Kenari mencipta kemenangan."

Lira adalah penjaring terbanyak Sang Kenari dalam kancah Liga Super selepas 14 perlawanan dengan meledak lapan gol.

Dalam perkembangan yang sama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali ketika dihubungi berkata, pelepasan Lira dari skuad KDA FC ini adalah berdasarkan persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak.

"Dengan ketiadaan Lira yang juga penyerang utama, kita akan berusaha mendapatkan penyerang gantian bagi memastikan kekuatan serangan dapat diperkukuhkan dalam baki saingan Liga Malaysia selepas ini.

"Insyah-Allah. Semoga usaha serta proses bagi mendapatkan penggantian penyerang ini akan berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 1:59 PM