IFEDAYO pernah menyarung jersi Selangor. FOTO NSTP
IFEDAYO pernah menyarung jersi Selangor. FOTO NSTP
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengikat bekas penyerang sensasi Liga Malaysia (Liga M), Ifedayo Olusegun bagi meneruskan baki saingan pada musim ini.

Kemasukan Ifedayo yang juga penjaring terbanyak Liga Super untuk musim 2020 dan 2021 itu diumumkan oleh KDA FC hari ini, dan ia adalah pertukaran pertama pemain buat Sang Kenari pada tempoh kedua jendela perpidahan pemain selepas kekosongan ditinggalkan Willian Lira, 16 Jun lalu.

Menurut Sang Kenari, kemasukan pemain import berusia 32 tahun serta pemegang pasport Bahrain itu akan mengisi kuota pemain import Asia dan akan didaftarkan bersama pasukan bermula 5 Julai ini.

"KDA FC dengan sukacitanya mengumumkan ketibaan Ifedayo Olusegun Patrick Omosouyi sebagai penyerang baharu pasukan Sang Kenari dengan mencapai persetujuan untuk mengikat kontrak bagi baki musim 2023. Ifedayo tidak terikat dengan mana-mana kelab pada tahun ini dan berkontrak sebagai ejen bebas.

"Kelibat Ifedayo tidak asing di Liga Malaysia (Liga M) dengan pengalaman bersama Felda United, Melaka dan Selangor, antara faktor pilihan pengurusan dan ini memudahkan beliau untuk segera mencari keserasian dengan rakan sepasukan di kem Sang Kenari. Tempoh pendaftaran pemain baharu dibuka semula bermula 5 Julai ini.

"Reputasi pemegang Kasut Emas dua tahun berturut-turut, penjaring terbanyak Liga Super di musim 2020 dan 2021 dengan jumlah 38 gol (12 gol musim 2020, 26 gol musim 2023), sehinggakan di gelar 'King Dayo' ketika bersama Selangor FC," kata kenyataan itu.

Ifedayo yang pernah meledak hatrik ketika bersama Selangor FC beraksi di Stadium Darul Aman pada musim 2021 kini dijangka membuat penampilannya sulungnya di tempat lawan pada aksi menentang PDRM FC, 9 Julai ini.

"Penampilan sulung Ifedayo dijangka paling awal boleh disaksikan pada aksi bertemu skuad PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 9 Julai memandangkan jendela perpindahan pemain dibuka bagi pendaftaran pemain akan bermula pada 5 Julai depan.

"Kedatangannya pada kali ini memakai jersi hijau kuning untuk memburu kejayaan baru buat pasukan Sang Kenari. Babak baharu, cerita baharu, kita semua saksikan, selamat datang King Dayo," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 4:59 PM