BALOTELLI berpeluang berada dalam kesebelasan utama skuad Sang Kenari. FOTO KDA FC
BALOTELLI berpeluang berada dalam kesebelasan utama skuad Sang Kenari. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap yakin kekuatan di bahagian serangannya tidak tergugat meskipun dengan ketiadaan penyerang utamanya, Willian Lira yang sah dilepaskan dari skuad berkenaan.

Menurut ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain, kekosongan yang ditinggalkan Willian Lira itu mampu dimanfaatkan oleh penyerang keduanya, Jonathan Balotelli dan juga penyerang skuad kedua KDA FC (KDA FC B), Ebenezer Assifuah.

"Dengan ketiadaan penyerang utama, Willian Lira yang diumumkan semalam, kita terpaksa meneruskan perancangan kita dan mungkin akan membuat beberapa perubahan yang perlu bagi meningkatkan lagi kekuatan terutama jentera serangan pasukan.

"Namun perlu ada penambahbaikan dan pembaharuan untuk menjadikan pasukan ini ke tahap yang lebih baik bagi menempuh cabaran yang sengit selepas ini.

"Kita masih ada penyerang kedua iaitu Balotelli dan dia juga menunggu peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama. Disamping itu, kita juga ada penyerang muda, Ebenezer Assifuah dan itu juga peluang untuk dia bersama skuad utama," katanya.

Nafuzi berkata, beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan terbaik pada jendela perpindahan pemain seterusnya.

"Dalam bola sepak, benda yang tidak dijangka terjadi itu adalah perkara yang normal dan untuk mendapatkan pengganti Willian Lira kelak, saya serahkan perkara ini kepada kelab untuk memproses dan menilai pemain yang mahu kita ambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 4:15 PM