Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melengkapkan senarai penuh pemain import musim ini apabila mengumumkan tiga lagi pemain untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Pemilik Sang Kenari Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengumumkan kemasukan bekas pemain Sri Pahang Manuel Hidalgo yang sebelum ini dikatakan menjadi topik perbualan dan rebutan antara beberapa pasukan dalam Liga M.

Selain Hidalgo, KDA FC turut mengumumkan penyerang import utamanya yang baharu iaitu Willian Lira Sousa, berusia 29 tahun dari Brazil yang sebelum ini beraksi dalam Liga Jepun (J League) dan bakal menjadi peledak berbisa Sang Kenari musim ini.

KDA FC jug menandatangani pemain pertahanan dari Serbia berusia 28 tahun iaitu Bojan Ciger yang memiliki ketinggian 186sm yang diyakini dapat memperkukuhkan lagi benteng pasukan.

Dengan pemgumuman itu, Sang Kenari kini melengkapkan kesemua lima pemain importnya yang akan didaftarkan untuk skuad utama musim ini termasuk Manuel Ott dari Filipina dan Amirbek Juraboev dari Tajikistan yang diumumkan sebelum ini.

Seorang lagi import Alan Robertson dari Afrika Selatan akan didaftarkan dalam skuad Liga Simpanan dan menjadi pemain sokongan buat skuad utama Sang Kenari kendalian Nafuzi Zain.

Mohd Daud yang mengetuai majlis pengumuman pasukan Liga Super KDA FC dan menandatangani perjanjian rakan rasmi di House of Sang Kenari berkata beliau bersyukur dan lega selepas semua pemain yang dipilih Nafuzi akhirnya dapat dilengkapkan dalam tempoh pantas bagi menghadapi saingan Liga M pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 3:06 PM