BALOTELLI fokus mempertajamkan jentera serangan Sang Kenari. FOTO KDA FC
BALOTELLI fokus mempertajamkan jentera serangan Sang Kenari. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Jonathan Boareto dos Reis atau lebih dikenali sebagai Jonathan Balotelli kini bersedia menggalas peranan utama di barisan serangan Sang Kenari pada aksi Liga Super 3 Julai depan menentang Terengganu FC (TFC).

Menurut penyerang berpengalaman dari Brazil itu, dia mahu memastikan barisan serangan Sang Kenari kekal berbisa selepas ketiadaan rakan seperjuangannya, Willian Lira yang diumumkan secara mengejut tidak lagi bersama pasukan pada minggu lalu.

"Saya tetap kekal bersemangat walaupun dengan ketiadaan Willian Lira, dan saya juga bersedia menggalas tugas penting yang diharapkan di barisan serangan seperti apa yang dirancang dalam pasukan.

"Sepanjang tempoh rehat ini, saya memperbaiki tahap kecergasan di tahap terbaik untuk aksi menentang Terengganu FC (TFC) di tempat lawan pada awal bulan depan.

"Impian saya dan pasukan adalah mahu mengekalkan kedudukan tiga terbaik yang sedang kami capai kini, dan itulah yang sangat diharapkan penyokong pada ketika ini," katanya.

Balotelli juga berkata, bagi memastikan momentum Kedah dapat dikekalkan, setiap pemain perlu teruskan fokus serta tidak berasa selesa dengan kedudukan yang dicapai setakat ini.

"Kini kita berada di pertengahan liga dan apa yang penting adalah kami perlu terus fokus menghadapi sambungan aksi nanti dengan prestasi yang meyakinkan disamping cuba pertingkatkan lagi tahap permainan sebaik aksi liga kembali bermula pada awal bulan depan," katanya.

Balotelli yang sebelum ini kerap diturunkan sebagai pemain gantian, adalah pemain yang telah mengutip banyak pengalaman dan dia sudah beraksi untuk 16 kelab sebelum ini bermula di Brazil, Macedonia, Qatar, Iran, China dan Korea Selatan sebelum menyertai KDA FC awal musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 5:38 PM