LEE Tuck meraikan jaringannya. FOTO KDA FC
LEE Tuck meraikan jaringannya. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati jangkaan apabila berjaya menundukkan Kelantan FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.

Lima gol yang dihasilkan Kedah pada perlawanan di laman sendiri itu memastikan Sang Kenari melonjak kedudukannya di tangga keempat liga sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan mereka di Liga Super.

Sebaik babak pertama bermula, KDA FC dan Kelantan FC memulakan aksi dengan serangan pantas melalui penyerang masing-masing Willian Lira dan Miguel Anger Garrido namun tiada percubaan tepat dilakukan.

Kedah membuka tirai jaringan melaui kapten pasukan, Manuel Ott pada minit ke-16 yang melakukan rembatan luar kotak penalti selepas mendapat hantaran daripada Amirul Hisyam sekali gus menewaskan penjaga gol lawan Nik Mohd Amin.

Kelantan yang tertekan selepas ketinggalan satu gol, sekali lagi dikejutkan dengan gol kedua Kedah yang terhasil melalui jaringan pemain naturalisasi, Lee Tuck dari jarak berhampiran kotak penalti pada minit ke-27 selepas mendapat hantaran daripada Manuel Hidalgo.

Kelantan dilihat sedikit mengendurkan serangan ke kubu tuan rumah, dan kesempatan itu terus diambil Kedah untuk mengawal perlawanan dan kedudukan dua gol itu kekal hingga berakhir babak pertama.

KDA FC yang bersemangat memimpin perlawanan terus menambah derita skuad The Red Warriors dengan jaringan dua minit selepas babak kedua bermula melalui rembatan pemain import, Manuel Hidalgo yang mendapat umpanan mudah daripada Willian Lira dalam kotak penati.

Sang Kenari terus menambah koleksi gol keempatnya apabila dihadiahkan sepakan penati yang dijaringkan oleh penjaring utama, Willian Lira pada minit ke-59 selepas pemain Kelantan, Muhammad Afzal dikesan menyentuh bola ketika berhadapan pemain Kedah, Kamil Akmal.

Kelantan yang cuba mencari gol di tempat lawan terus dihukum Sang Kenari dengan jaringan penyerang gantian, Jonathan Balotelli pada minit ke-89 yang mudah menanduk masuk bola hasil asakan ke pintu gol lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 1:39 AM