PEMAIN skuad B-17 negara menjalani latihan ringan menjelang perlawanan dengan Yaman, esok. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-17 negara menjalani latihan ringan menjelang perlawanan dengan Yaman, esok. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Harapan tinggi diletakkan pengendali skuad Bawah 17 (B-17) tahun negara, Osmera Omaro yang mahu pemainnya menuai keputusan positif apabila menentang Yaman dalam aksi pertama Kumpulan A Piala Asia B-17 di Stadium Thammasat, Bangkok, Thailand, petang esok.

Jelas Osmera, keputusan positif itu penting sebelum boleh mengintai peluang untuk melangkah ke peringkat suku akhir nanti.

"Bagi permulaan Piala Asia ini, sudah tentu semua pemain bersemangat dan tak sabar untuk beraksi.

"Dalam kejohanan seperti ini, perlawanan pertama sangat penting. Saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik mereka dan bermain dengan tahap keyakinan tinggi untuk mengatasi pasukan lawan.

"Pada masa sama, mereka perlu mengelakkan kesilapan mudah agar tidak dihukum pemain lawan," katanya.

Ujar Osmera, dia mengingatkan pemain agar tidak terlalu gementar apabila menentang Yaman kerana ia akan memberi tekanan, sekali gus agak sukar untuk beraksi dengan corak permainan dimahukan.

"Apa yang saya lihat pemain masih kurang keyakinan diri. Saya rasa ramai dapat menilai pemain agak gementar apabila memulakan perlawanan sebab keyakinan diri itu kurang.

"Kemudiannya, kami perlu lebih matang sikit. Kita tahu pemain yang ada ini datang daripada akademi. Jadi, mereka ada falsafah sendiri, kadang-kadang pemain ini masih terikat bermain dengan corak permainan tertentu.

"Mereka kena faham ini adalah pasukan kebangsaan dan kami kejar keputusan. Jadi mereka tidak boleh terikat dengan falsafah akademi itu," katanya.

Skuad Harimau Muda diletakkan sekumpulan dengan Yaman, Laos dan Thailand, dengan dua tempat teratas akan mara ke suku akhir.

Empat pasukan terbaik yang mara ke separuh akhir kejohanan ini bakal memperoleh slot untuk beraksi di Piala Dunia B-17, hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 4:34 PM