Skuad B-17 dalam aksi perlawanan persahabatan di Qatar. FOTO Ihsan FAM
Skuad B-17 dalam aksi perlawanan persahabatan di Qatar. FOTO Ihsan FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siri perlawanan persahabatan di Doha, Qatar dianggap berjaya dan barisan skuad bawah 17 (B-17) tahun negara diakui meraih pengalaman berguna untuk di bawa ke Bangkok, Thailand pada Jun ini.

Perkara itu diakui pengendali skuad B-17, Osmera Omaro yang nyata berpuas hati dengan prestasi pasukan sepanjang enam aksi pemanas badan di Qatar.

Katanya, pemain berjaya meraih pengalaman berguna apabila berdepan kelab dan akademi bola sepak handalan di negara 'Pak Arab' itu.

Jelasnya lagi, pengalaman itu berguna buat anak buahnya untuk menghadapi saingan Piala Asia B-17 di Bangkok nanti, di mana skuad negara meletakkan sasaran untuk mara hingga ke separuh akhir bagi menggenggam tiket automatik ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini.

"Saya berharap para pemain mendapat pengalaman yang bernilai untuk dibawa pulang ke tanah air sekali gus menambah baik aspek permainan di dalam dan luar padang.

"Terima kasih kepada penyokong Harimau Muda B-17 yang terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain muda negara," katanya.

Di Bangkok nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Thailand, Laos dan Yaman, dengan aksi pertama bermula menentang Yaman pada 15 Jun ini.

Sepanjang lima aksi di Qatar, skuad Harimau Muda negara itu cemerlang menewaskan lima pasukan iaitu Al Arabia SC U17 dengan 4-2, Umm Salal SC U17 (5-0), Al Ghrafa U18 (4-1), Al Markhiyah SC U17 (7-0) dan Al Duhail SC U19 (1-0).

Begitupun, rekod itu sedikit tercalar apabila tewas tipis 0-1 di tangan akademi terbaik dunia iaitu Akademi Aspire U17, sekali gus merekodkan sebanyak 21 gol dan hanya empat bolos pada keseluruhan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 2:19 PM