SKUAD B-17 negara gigih jalani latihan di Wisman FAM, Kelana Jaya. FOTO FAM
SKUAD B-17 negara gigih jalani latihan di Wisman FAM, Kelana Jaya. FOTO FAM
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad Bawah 17 tahun (B-17) perlu sentiasa mempunyai semangat juang dan komitmen tinggi selain berdisiplin serta berdedikasi jika mahu mencipta kejayaan positif pada saingan Piala Asia B-17 yang akan membuka tirai bermula 15 Jun ini.

Pengendali skuad B-17 negara Osmera Omaro berkata, tiada perkara mustahil untuk melangkah ke pusingan seterusnya walaupun bakal menerima tentangan sengit daripada tuan rumah iaitu Thailand, Yaman dan Laos dalam saingan Kumpulan A kelak.

Beliau berkata, ketika ini sasaran utama untuk cuba menempatkan pasukan dalam kelompok empat terbaik sekali gus memperoleh slot untuk beraksi di Piala Dunia 2023.

"Pada saingan Piala Asia B-17 sebenarnya tiada sasaran diletakkan namun kami cuba beraksi dengan baik untuk merealisasikan impian banyak pihak untuk melayakkan diri ke saingan Piala Dunia 2023.

"Berdasarkan kepada prestasi semasa, kami berada pada tahap terbaik sekali gus mungkin juga menjadi peluang untuk beraksi di pentas Olimpik.

"Walaupun berada pada tahap terbaik ketika ini namun kami perlu berhati-hati dan sentiasa mengekalkan disiplin dan komitmen tinggi untuk memperoleh keputusan positif," katanya.

Selain itu, Osmera berkata, skuad muda negara itu akan bertandang ke Bangkok tanpa kehadiran kapten mereka Danish Darus yang mengalami kecederaan sekali gus terpaksa berehat panjang untuk pulih.

"Secara peribadi, kemungkinan kita boleh melepasi peringkat kumpulan namun lawan yang bakal kita jumpa di suku akhir mungkin Korea Selatan atau Iran.

"Ketika ini, kapten pasukan (Danish) mengalami kecederaan sekali gus terpaksa diketepikan namun tidak perlu bimbang kerana ada yang mampu menggantikannya pada saingan Piala Asia itu," katanya.

Mengikut rekod, skuad kendalian Osmera akan memulakan saingan Piala Asia dengan aksi pertama Kumpulan A berdepan Yaman di Stadium Thammasat, Bangkok pada 15 Jun, seterusnya menentang tuan rumah Thailand (18 Jun) di Stadium Phatum Thani dan Laos (21 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:12 PM