WEST HAM meraikan kejayaan mereka menjulang Liga Konferensi Europa. -FOTO AFP
WEST HAM meraikan kejayaan mereka menjulang Liga Konferensi Europa. -FOTO AFP
AFP

Prague: Gol dramatik Jarrod Bowen pada minit ke-90 memastikan West Ham merangkul trofi utama Eropah pertama mereka sejak 1965 dengan kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina pada perlawanan akhir Liga Konferensi Europa.

Ia adalah trofi Eropah kedua untuk West Ham selepas mereka memenangi Piala Juara-Juara yang tidak lagi anjurkan ini pada 58 tahun lalu, bersama-sama wira England yang merangkul Piala Dunia ketika itu, Bobby Moore dan Geoff Hurst.

Bowen menerima bola hantaran daripada Lucas Paqueta, sebelum melakukan rembatan rendah melepasi kawalan Pietro Terracciano di gawang Fiorentina.

"Saya memang bermimpi untuk gol, gol kemenangan pada lewat perlawanan. Itulah yang selalu anda katakan yang anda mahu lakukan," kata Bowen.

"Melakukannya di hadapan penyokong. Saya rasa saya akan menangis. Saya sangat gembira.

Said Benrahma membuka jaringan untuk West Ham di Prague ketika dia menyempurnakan sepakan penalti melepasi Terracciano pada minit ke-62 selepas VAR menangkap Cristiano Biraghi melakukan kesalahan ketika cuba menghalang Bowen di dalam kotak.

Giacomo Bonaventura kemudiannya menyamakan kedudukan lima minit kemudian, menewaskan penjaga gol West Ham, Alphonse Areola menerusi percubaan kaki kanan yang mengelirukan.

Mereka kini mencatatkan nama sebagai pemenang trofi Liga Konferensi Europa selepas Roma memenangi edisi sulung tahun lalu.

Kemenangan itu juga mengesahkan tempat West Ham dalam Liga Europa musim depan manakala Fiorentina akan terlepas saingan Eropah selepas menduduki tempat kelapan dalam Serie A.

Trofi utama West Ham sebelum ini adalah pada tahun 1980 apabila mereka memenangi Piala FA.

Mereka menghabiskan sebahagian besar musim lalu untuk keluar dari zon penyingkiran dan akhirnya menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 8:04 AM