PENJAGA gol AZ Alkmaar, Mathew Ryan menyelamatkan percubaan pasukan lawan. -FOTO AFP
PENJAGA gol AZ Alkmaar, Mathew Ryan menyelamatkan percubaan pasukan lawan. -FOTO AFP
AFP

London: West Ham akan menentang Fiorentina pada perlawanan akhir Eropah pertama mereka selepas 47 tahun apabila menewaskan AZ Alkmaar 1-0 untuk memberi mereka kemenangan dengan agregat 3-1 dalam aksi separuh akhir Liga Persidangan Europa.

Pablo Fornals menjaringkan gol kemenangan West Ham pada minit terakhir perlawanan kedua yang tegang untuk mengatur pertembungan menentang Fiorentina pada perlawanan akhir di Prague 7 Jun ini.

Kali terakhir The Hammers mara ke final Eropah pada tahun 1976 apabila mereka tewas kepada Anderlecht ketika aksi Piala Juara-Juara.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir kedua, gol terakhir Antonin Barak mengesahkan kemenangan dramatik Fiorentina 3-1 di FC Basel.

Kelab Serie A itu adalah pasukan pertama mara ke final empat pertandingan utama Eropah yang berbeza.

Pasukan Vincenzo Italiano ketinggalan 1-2 selepas perlawanan separuh akhir pertama, tetapi mereka mengubah kedudukan di Switzerland.

Dua gol Nicolas Gonzalez dan gol Barak pada saat akhir masa kecederaan pada masa tambahan merangkul kemenangan dengan agregat 4-3.

West Ham tidak memenangi trofi utama sejak gol Trevor Brooking menewaskan Arsenal pada perlawanan akhir Piala FA 1980.

Mereka tewas dalam perlawanan akhir Piala FA 'Steven Gerrard' menerusi sepakan penalti selepas seri 3-3 menentang Liverpool pada 2006.

"Kami benar-benar teruja. Ia satu pencapaian besar untuk kelab, tetapi kini ia mengenai pergi dan memenanginya. AZ sangat bagus dalam apa yang mereka lakukan, tetapi saya gembira kami melakukannya," kata bos West Ham, David Moyes.

"Kami membawa masuk ramai pemain antarabangsa untuk menjadi lebih baik, tetapi kami benar-benar bergelut musim ini. Kami terpaksa kembali kepada perkara yang membuatkan anda menang, dan bersyukur kami melakukannya."

Musim lalu, West Ham tewas secara agregat 3-1 kepada pasukan juara Eintracht Frankfurt di separuh akhir Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 8:11 AM