PEMAIN Inter Milan meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Itali. -FOTO AFP
PEMAIN Inter Milan meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Itali. -FOTO AFP
MARTINEZ (tengah) bersama rakan pasukan meraikan kejayaan menjuarai Piala Itali. -FOTO AFP
MARTINEZ (tengah) bersama rakan pasukan meraikan kejayaan menjuarai Piala Itali. -FOTO AFP
AFP

Rom: Lautaro Martinez menjaringkan dua gol ketika finalis Liga Juara-Juara, Inter Milan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Fiorentina 2-1 sekali gus mengekalkan kejuaraan Piala Itali.

Nicolas Gonzalez meletakkan Fiorentina di depan di Stadio Olimpico tetapi aksi cemerlang Martinez membolehkan Inter bangkit dengan kemenangan sebelum separuh masa pertama buat pasukan Simone Inzaghi.

Kejayaan Piala Itali kesembilan Inter menyamai pencapaian Roma. Hanya Juventus berjaya dengan 14 gelaran dan lebih kerap menjulang trofi itu.

"Saya sangat gembira kerana kami memenangi trofi bersama kelab hebat ini sejak dua tahun lalu," kata Martinez, yang turut membantu Inter memenangi Serie A pada 2021 dan Piala Itali tahun lalu.

"Kami perlu terus lakukan seperti itu. Kami benar-benar mahu mengangkat satu lagi piala malam ini. Kami bermula dengan teruk dalam 15 minit pertama tetapi kemudian kami melakukan apa yang sepatutnya kami lakukan dari awal."

Juara enam kali, Fiorentina dinafikan trofi pertama mereka sejak tahun 2001, tetapi kelab itu masih boleh memenangi kejuaraan musim ini selepas mara ke final Liga Konferens Eropah.

Mereka akan berdepan West Ham di Prague pada 7 Jun, tiga hari sebelum Inter berdepan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada final Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul.

"Kami perlu mengumpul tenaga untuk Prague. Kami perlu ke sana dengan penuh yakin dan membawa pulang trofi serta membalas dendam," kata pengendali Fiorentina, Vincenzo Italiano.

Fiorentina, bermula baik apabila Gonzalez menyempurnakan hantaran Jonathan Ikone untuk mendahului Inter.

Bagaimanapun penyerang Argentina, Martinez menyamakan kedudukan selepas mendapat lorongan Marcelo Brozovic pada minit ke-29 untuk gol ke-100nya bersama Inter.

Lapan minit kemudian, Martinez sekali lagi menewaskan Pietro Terracciano hasil hantaran Nicolo Barella.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 9:10 AM