Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan melangkah ke pusingan akhir Piala Asia buat pertama kali selepas 42 tahun menyaksikan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) 'laku keras' apabila ia diberi secara percuma oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), hari ini.

Rata-rata yang hadir mahu mengabadikan kejayaan skuad Harimau Malaya itu dengan menanam rumput berkenaan di halaman rumah sendiri sebagai kenangan terindah buat penyokong bola sepak negara.

Antara yang teruja adalah Erik Tan, yang mengakui kejayaan anak buah Kim Pan-gon layak ke Piala Asia di Qatar pada Januari depan antara kenangan manis buat rakyat di negara ini.

"Ambik nak letak kat rumah, boleh bagi tahu anak-anak yang rumput ini dulu pemain (skuad Harimau Malaya) kita, pernah main atas rumput ini sebagai kenangan dan juga untuk cantikkan halaman rumah.

"Kita dapat tahu stadium nak bagi rumput percuma, jadi saya pun datang ambil untuk letak dekat rumah dan ia juga kenangan sebab stadium ini nak tukar rumput baru. Jadi ambik sikit sebagai cenderamata untuk kita simpan," katanya.

Buat seorang lagi individu, Wan Donnie Khalid Wan Abdullah, kehadirannya di SNBJ untuk mengambil rumput itu bagi kegunaan pelatih-pelatih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), di Sungai Besi.

Jelas Pegawai Pemulihan itu, di Puspen sememangnya ada padang bola sepak namun terdapat beberapa permukaan rumput yang sudah mati dan lompong.

"Saya ucapkan terima kasih kepada PSM kerana memberi rumput percuma. Saya datang bukan untuk kegunaan peribadi tapi sebenarnya untuk pusat penagihan narkotik Sungai Besi, di mana kita ada padang bola dan sedikit sebanyak kita ambik untuk ganti balik rumput-rumput kita yang rosak.

"Alhamdulillah padang rumput di SNBJ ini masih lagi dalam keadaan yang baik," kata Wan Donnie.

Ujarnya lagi, dengan pemberian rumput itu ia akan memberi manfaat buat pelatih-pelatih Puspen menjalani proses pemulihan menerusi aktiviti sukan.

"Padang itu kegunaan untuk pelatih sebenarnya, kita memang ada aktiviti riadah dan sukan di sebelah petang hampir setiap hari.

"Sangat penting sebab itu salah satu terapi kepulihan dia (pelatih) untuk aktiviti sihat dia. Sebelum dia ambik dadah di luar, mereka memang jarang bersukan, tapi bila masuk pusat kita sukarela, salah satu komponen dalam terapi pemulihan kita wajib bersukan dan riadah," kata Wan Donnie.

Semalam, PSM menawarkan rumput padang SNBJ jenis 'Cow Grass' secara percuma kepada orang ramai di mana venue berkenaan akan menjalani proses penggantian rumput baharu jenis Zeon Zoysia bermula esok.

Proses pertukaran itu dijangka mengambil masa sehingga Oktober ini dengan skuad Harimau Malaya dijangka dapat menggunakan SNBJ pada saingan Pestabola Merdeka pada hujung Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 2:32 PM
ORANG ramai mengambil kesempatan mengambil rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dibuka kepada orang ramai sehingga petang ini sebelum kerja kerja memasang rumput baru jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass di padang itu. FOTO Hazreen Mohamad
ORANG ramai mengambil kesempatan mengambil rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dibuka kepada orang ramai sehingga petang ini sebelum kerja kerja memasang rumput baru jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass di padang itu. FOTO Hazreen Mohamad