SNBJ menjadi venue Pestabola Merdeka yang bermula Jumaat ini.
SNBJ menjadi venue Pestabola Merdeka yang bermula Jumaat ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) 'tidak main-main' dalam usaha memastikan permukaan padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada pada tahap terbaik menjelang sepak mula Pestabola Merdeka bermula Jumaat ini.

Antara langkah proaktif dan cukup serius diambil oleh PSM apabila membeli lampu pencahayaan rumput atau 'grass light' dari Eropah yang dianggar ratusan ribu ringgit.

Perkara itu dikongsikan Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac, yang mengakui pihaknya terpaksa mendapatkan kelengkapan itu bagi membolehkan rumput baharu iaitu Zeon Zoysia mendapat pencahayaan secukupnya sekali gus mempercepatkan proses penyediaan padang.

"Satu benda yang rumit buat kita kerana (bumbung berbentuk dome) stadium menghalang cahaya matahari. Kami harus beli lampu rumput dari Eropah untuk dibawa masuk ke SNBJ untuk memastikan rumput ini ke tahap antarabangsa.

"Sudah pasti rumput ini mengambil masa yang agak lama. Terdapat beberapa elemen penting yang perlu dinilai rapi termasuklah air dan udara," ketika ditemui pada majlis pelancaran filem 'Harimau Malaya: The Untold Journey' arahan Datuk Afdlin Shauki.

Pada Jun tahun lalu, SNBJ menjadi bahan kritikan selepas ditakungi air ketika aksi Kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Bahrain.

Susulan itu pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan untuk menaja penukaran rumput di SNBJ yang menggunakan 'Cow Grass' kepada 'Zeon Zoysia' seperti mana terdapat di Stadium Sultan Ibrahim ketika ini.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon bakal menjadi pasukan pertama menggunakan padang baharu itu pada saingan Pestabola Merdeka apabila dijadual turun menentang India, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 9:29 PM