Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) perlu mengambil langkah sewajarnya dan tepat dalam memastikan penyediaan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sentiasa berada pada kondisi terbaik tidak kira ketika penganjuran aktiviti sukan mahupun hiburan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada PSM selepas beliau mengakui memandang serius isu padang yang menghantui SNBJ ketika aksi final Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC, Jumaat lalu.

Katanya, beliau mahu PSM membuat keputusan tepat dalam setiap langkah bagi memastikan venue stadium kekal berada pada tahap yang optimum pada setiap acara yang berlangsung.

"Jika kita lihat sama ada perlawanan bola sepak mahupun konsert, ramai penyokong dan peminat yang hadir membeli tiket memenuhi stadium.

"Atas sebab itu, tanggungjawab PSM adalah untuk pastikan apabila mereka membenarkan stadium itu disewa, mereka ada langkah-langkah yang diambil.

"Ia untuk memastikan stadium itu berada pada keadaan yang optimum dan ideal sama ada untuk konsert atau bola sepak," katanya pada majlis penghargaan pasukan negara yang menjuarai Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia 2023 di Kuala Lumpur Golf and Country Club, malam tadi.

Terdahulu, kesilapan percaturan PSM yang membenarkan konsert Coldplay diadakan pada bulan lalu menyaksikan padang SNBJ rosak teruk hingga menjejaskan aksi final Piala Malaysia yang turut mendapat kritikan peminat bola sepak tempatan.

PSM sebelum ini dilihat cukup yakin mampu membaikpulih dan menyediakan kembali padang dalam kondisi terbaik, namun segala jangkaan itu meleset hingga menghadirkan risiko kecederaan kepada pemain ekoran keadaan rumput yang tidak rata.

Ujar Hannah lagi, satu siasatan dalaman sudah dilakukan bagi mencari punca kelemahan pengurusan padang di SNBJ dan satu laporan lengkap akan dikongsikan kepada umum.

"Semalam saya telah menghabiskan masa hampir satu hari berjumpa dengan PSM untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mencari punca masalah yang kita hadapi ketika penyediaan padang untuk final Piala Malaysia.

"Laporan sedang disiapkan dan nantikan keputusan yang akan diambil oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Komitmen kami adalah untuk memperbaiki segala kelemahan dan kita akui ada kelemahan.

"Oleh itu ianya adalah tanggungjawab KBS untuk memastikan sukan terus maju dan apa-apa kelemahan kita perlu ambil langkah untuk perbaiki.

"Ini untuk memastikan Stadium Nasional Bukit Jalil berada dalam keadaan yang baik bukan sahaja untuk sukan bola sepak tetapi juga penganjuran konsert," katanya.

Belum pun reda isu final Piala Malaysia itu, kini peminat mula bimbang masalah sama bakal berulang pada Mac depan apabila skuad Harimau Malaya dijadual beraksi di SNBJ bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 26 Mac nanti.

Begitupun sebulan sebelum aksi penting itu, dilaporkan SNBJ akan menganjurkan konsert artis terkenal Britain, Ed Sheeran sekaligus adakah 'dejavu' rumput ragut akan berulang ketika aksi kelayakan Piala Dunia itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 2:07 PM