TUNKU Ismail Sultan Ibrahim.
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak boleh berbuat apa-apa jika bantuannya untuk menaja kos menukar rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ditolak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Jelas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, keputusan kini terletak sepenuhnya di tangan PSM di mana beliau sendiri akan mengeluarkan kos yang dianggar jutaan ringgit itu secara percuma.

"Niat saya ikhlas untuk membantu. Rumput Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim sudah terbukti. Tetapi kalau tidak diterima, saya tidak boleh berbuat apa-apa.

"Saya juga akan melawat SNBJ pada 19 Mac. Saya akan kongsikan kos untuk padang baru, dan kos penyelenggaraan setahun tidak melebihi RM240,000," katanya di laman sosial miliknya.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail turut berkongsi surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan hasrat untuk menampung kos pertukaran rumput daripada Cowgrass kepada Zeon Zoysia.

Dalam surat berkenaan, Tunku Mahkota Johor itu mencadangkan agar Syarikat Sports Turf Solution Sdn Bhd diberi tanggungjawab bagi proses penanaman dan penjagaan rumput di SNBJ seperti yang dijalankan di Stadium Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Tunku Ismail meluahkan hasratnya untuk menanggung kos pertukaran padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan rumput jenis Zeon Zoysia yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Hasrat itu tampaknya bukan main-main atau sekadar sembang kedai kopi, apabila Tunku Ismail terus mengotakan janjinya apabila mengeluarkan cek untuk menyegerakan proses berkenaan, di mana ketika ini stadium kebanggaan negara itu masih menggunakan rumput Cowgrass.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 6:29 PM