RUMPUT padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). FOTO Bernama
RUMPUT padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). FOTO Bernama
Zulfaizan Mansor


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menawarkan rumput padang Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) secara percuma kepada orang ramai yang akan diagihkan pada pagi dan petang esok.

Perkembangan itu dimaklumkan PSM menerusi akaun Twitter miliknya sempena dengan proses menggantikan rumput baharu padang stadium itu.

"Sempena dengan kerja penggantian rumput padang Stadium Nasional kelak, Perbadanan Stadium Malaysia ingin menawarkan rumput sedia ada secara percuma kepada orang awam pada 31 Mac 2023 (esok)," katanya.

Waktu pengambilan rumput itu adalah dua sesi iaitu bermula 10 pagi sehingga 12 tengah hari dan 3 hingga 5 petang.

Pengambilan itu terhad kepada empat petak rumput padang (ukuran 1x1 kaki) bagi setiap orang dan orang awam diminta membawa bekas sendiri.

Media sebelum ini melaporkan projek penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia di SNBJ akan menelan belanja sebanyak RM2.3 juta yang dijadual bermula bulan depan dan dijangka siap penghujung September atau awal Oktober.

Projek itu menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta sumbangan dana tajaan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Untuk rekod, antara jenis rumput pernah digunakan di SNBJ adalah Bermuda Greenless Park (1998-2005), Marimo Seashore Paspalum bersama Zoysia Material (2005-2013), Bermuda Mountain Green bersama Princess (2013-2015) dan Axonopus Compressus (2015 hingga sekarang).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 9:10 PM