HANNAH melihat rumput hibrid yang akan digunakan di SNBJ.
HANNAH melihat rumput hibrid yang akan digunakan di SNBJ.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kerjasama erat akan diberikan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bersama pengurusan Stadium Larkin bagi memastikan proses penerimaan rumput hibrid di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berjalan lancar.

Menerusi kenyataan media dikongsikan PSM, pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyumbangkan rumput hibrid di SNBJ.

"PSM menyembah takzim dan menjunjung kasih atas kurniaan Tunku Ismail, serta menyatakan iltizam untuk terus komited bagi menguruskan sebuah padang pelbagai guna yang berdaya tahan dan fleksibel untuk acara sukan dan bukan sukan.

"PSM sekali lagi menyatakan rasa sukacita tidak terhingga dan menjunjung tinggi kurniaan berpanjangan serta pertimbangan dan kebijaksanaan Tunku dalam menasihati PSM dalam mendepani segala cabaran mendatang," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenan menghadiahkan rumput hibrid sekali gus mengatasi isu permukaan padang teruk 'di rumah' skuad Harimau Malaya itu.

Menurut Tunku Ismail, selepas kajian dilakukan pihaknya mendapati rumput hibrid lebih sesuai digunakan di venue pelbagai fungsi seperti di SNBJ berbanding rumput Zeon Zoysia yang digunakan ketika ini.

Menerusi perkongsiannya di laman sosial, rumput jenis hibrid yang ditanam di Stadium Larkin akan didermakan ke SNBJ manakala rumput Zeon Zoysia sedia ada akan dipindahkan ke padang Majlis Sukan Negara.

Untuk rekod, rumput hibrid adalah gabungan rumput tiruan dan rumput sebenar yang lebih kuat di bahagian akarnya dan ia lebih sesuai untuk stadium pelbagai guna yang sering menganjurkan konsert selain perlawanan bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:24 PM