AKSI antara Kedah dan Kuching City di Stadium Darul Aman malam tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Kedah dan Kuching City di Stadium Darul Aman malam tadi. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya meneruskan momentum kemenangannya apabila menewaskan Kuching City FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kutipan tiga mata melalui dua jaringan gol oleh Akmal Zahir dan satu gol Manuel Hidalgo pada aksi perlawanan ini melonjakkan kedudukan Sang Kenari ke tangga ketiga.

Ia menyaksikan kebangkitan Sang Kenari dari dua kekalahan berturut-turut sebelum ini kepada PDRM FC dan Penang FC di laman sendiri.

Pada aksi di babak pertama, Kedah memulakan gerakan awal pada minit pertama dan ke-10 melalui percubaan penyerangnya Willian Lira dan tandukan pemain pertahanan Bojan Ciger namun dua percubaan mudah diselamatkan penjaga gol Kuching City, Julian Garcia.

Percubaan bertali arus tuan rumah ke kubu Kuching City akhirnya berhasil apabila pemain pertahanan Akmal Zahir berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-27 melalui gol yang dihasilkan secara sepakan lencong jarak jauh yang menewaskan Julian Garcia.

Kuching City cuba bangkit dengan melakukan beberapa gerakan serangan melalui pemain sayapnya Zahrul Nizwan namun penguasaan tuan rumah di ruang tengah dan kubu sedikit menyukarkan arus serangan skuad kendalian Ketua Jurulatih Irfan Bakti itu.

Dihujung babak pertama pemain import tuan rumah Hidalgo hampir menambah gol buat Sang Kenari namun percubaannya derasnya mudah dibaca Julian Garcia.

Bermula babak kedua, penjaring gol pertama Akmal Zahir sekali lagi menceriakan penyokong tuan runah apabila dengan gol tandukan pada minit ke-49 menghasilkan gol kedua yang yang dinantikan penyokong.

KDA FC terus menghukum Kuching City melalui gol ketiganya lapan minit kemudian dan kali ini giliran Manuel Hidalgo pula memanfaatkan peluang menewaskan Julian Garcia melalui serangan dan percubaannya dari kiri gawang gol pelawat.

Kemasukan dua pemain gantian Jonathan Balotelli dan Fayadh Zulkifli pada minit ke-66 terus merancakkan serangan tuan rumah dihadapan kira-kira 7,600 penonton di Stadium Darul Aman, namun tiada gol terhasil.

Lima minit sebelum perlawanan tamat, pemain pertahanan KDA FC Wan Amirul Afiq yang sudah menerima kad kuning pertama, dilayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah oleh pengadil perlawanan Zamzaidi Katimin selepas berlaku kekasaran antara pemain pertahanan itu dan penyerang Kuching City Abu Kamara.

Kedudukan 3-0 itu kekal hingga tiupan wisel penamat dengan menyaksikan KDA FC akhirnya berjaya bangkit dengan kelegaan di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 11:30 PM