TUCK menyumbang gol buat Sang Kenari pada aksi menentang FC Maktaaral di Limak Arcadia Sports Center, Antalya, Turkiye semalam. FOTO Ihsan KDA FC
TUCK menyumbang gol buat Sang Kenari pada aksi menentang FC Maktaaral di Limak Arcadia Sports Center, Antalya, Turkiye semalam. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan aksi perlawanan Pramusim Jelajah 2023 di Antalya, Turkiye dengan kekalahan 1-2 kepada skuad Liga Premier Kazakhstan FC Maktaaral di Limak Arcadia Sports Center, Antalya, Turkiye semalam.

Aksi pramusim ketiga pada pukul 5 petang waktu Turkiye itu menyaksikan Sang Kenari melakukan beberapa kombinasi pemain dengan untuk lebih menguji barisan pertahanan dengan membariskan Alan Robertson dan Akmal Zahir di kesebelasan utama perlawanan.

Skuad kendalian Nafuzi Zain ini juga memberi peluang tambahan kepada penyerang import kedua Jonathan Balotelli bagi meningkatkan lagi persefahamannya di ruang serangan apabila pertama kali digandingkan dengan penyerang utama Willian Lira.

Pada aksi berkenaan, pertahanan Kedah yang belum 'panas' dikejutkan pihak lawan dengan jaringan seawal minit kedua oleh pemain tengah FC Maktaaral hasil gerakan dan hantaran pantas dari ruang kiri gawang Kedah.

Sang Kenari bagaimanapun bangkit dengan mempamerkan penguasaan kawalan bola dan gerakan serangan dan percubaan oleh penyerang Jonathan Balotelli namun gagal menghasilkan gol hingga hujung babak pertama.

Babak kedua pula dilihat semakin meyakinkan Kedah dengan gerakan oleh Lee Tuck di ruang tengah dan Manuel Hidalgo di bahagian sayap dalam usaha mencari gol penyamaan.

Usaha Sang Kenari itu akhirnya membuahkan hasil apabila Lee Tuck berjaya mengambil kesempatan di atas kesilapan di bahagian pertahanan lawan untuk mencetak gol penyamaan pada minit ke-73.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila selang dua minit selepas itu, FC Maktaaral melalui pemain tengah yang sama berjaya menambah gol kedua mereka berpunca dari kesilapan benteng pertahanan Sang Kenari dan kedudukan 2-1 memihak FC Maktaaral ini kekal hingga ke hujung babak perlawanan.

Perlawanan pramusim menentang FC Maktaaral ini merupakan aksi ketiga selepas tewas 1-2 kepada FC Nasaf dan 0-2 kepada kelab Kazakhstan FC Shakhter Karagandy masing-masing pada 9 dan 10 Februari lalu.

Sang Kenari akan melengkapkan aksi pramusim di Turkiye ini dengan aksi terakhir menentang kelab Ukraine kelab Liga Premier dari Ukraine FC Metalist Kharkiv selasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 2:37 PM