Akmal (kiri) beraksi ketika menentang Penang FC. FOTO Luqman Hakim Zubir
Akmal (kiri) beraksi ketika menentang Penang FC. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mendapat 'hadiah' yang menggembirakan daripada Sang Kenari menerusi jaringan cantik yang dihasilkan pemain pertahanan Akmal Zahir ketika menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman Jumaat lalu.

Gol yang terhasil menerusi sepakan lencong jarak jauh dan disertai dengan kemenangan 3-0 ke atas Kuching City ini disifatkan satu sejarah indah dan 'pengubat' kekecewaan buat beliau.

Pada aksi perlawanan ini, tiga jaringan gol terhasil melalui dua sentuhan jaringan pemain pertahanan Akmal dan satu gol oleh pemain import Manuel Hidalgo.

"Tahniah Akmal. Tahniah Sang Kenari. Tahniah penyokong dan peminat. Kita sudah ada jaringan dalam liga kita yang indah dan mempersonakan.

"Jaringan ini akan kekal dalam memori penyokong dan peminat KDA FC sampai bila-bila.

"KDA FC berhak menikmati detik manis ini, malah setiap warga Malaysia pun berhak dan ini antara jaringan hebat dalam liga kita," katanya.

Mohd Daud juga memuji tindakan Akmal yang tidak lupa menzahirkan rasa syukur kepada Allah beberapa kali selepas tamat permainan yang disifatkannya satu adab yang yang tinggi bagi seorang pemain.

"Sehebat manapun kita, semuanya hanya anugerah Allah," katanya.

Selepas lima perlawanan KDA FC dalam saingan Liga Super setakat ini, skuad Sang Kenari berada di tangga ketiga carta dengan mengumpul 12 mata melalui empat kemenangan dan satu kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 1:34 PM