BALOTELLI (kanan) cuba melepasi pemain KL City FC pada perlawanan di Stadium Darul Aman. FOTO SYAHARIM ABIDIN
BALOTELLI (kanan) cuba melepasi pemain KL City FC pada perlawanan di Stadium Darul Aman. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terkedu apabila kecundang 2-3 kepada Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi kesembilan Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Gol penyerang KL City, Herlison Caion memastikan kemenangan buat The City Boys, sekali gus meranapkan impian Sang Kenari untuk bangkit mendapatkan tiga mata berharga di laman sendiri selepas tewas besar kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), sebelum ini.

KL City mengejutkan tuan rumah apabila menjaringkan gol pertama pertama melalui kapten, Paulo Josue yang berjaya menewaskan penjaga gawang KDA FC Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-11.

Tersentak dengan jaringan itu, KDA FC menggandakan serangan melalui Manuel Hidalgo dan Lee Tuck, namun gagal membuahkan hasil.

Penyerang utama, Jonathan Balotelli akhirnya menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-24 dan Bojan Ciger meletakkan mereka di depan pada minit ke-30.

Bermula babak kedua, KL City menyamakan kedudukan pada minit ke-47 melalui tandukan Romel Morales.

Caion yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-71 untuk menambah sengat jentera depan KL City, akhirnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74.

KDA FC memasukkan tenaga baharu untuk jentera serangan iaitu penyerang Willian Lira dan Fayadh Zulkifli, namun gagal mencari gol penyamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:21 AM