K DEVAN sudah mempunyai senarai kesebelasan utama. FOTO Mohd Amin Jalil
K DEVAN sudah mempunyai senarai kesebelasan utama. FOTO Mohd Amin Jalil
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan Fc (NSFC), K Devan mengakui sudah mempunyai bayangan senarai kesebelasan utama pasukan itu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang bakal membuka tirainya, Jumaat ini.

Pengendali berpengalaman kelahiran Bahau itu berkata, meskipun tiga daripada empat pemain import yang disahkan menganggotai skuad Hobin Jang Hobin belum tiba, namun pemain tempatan sudah bersedia dari segala aspek untuk menggalas cabaran pasukan.

"Sebelum ini barisan kesebelasan utama saya tanpa pemain import, tapi sekarang saya akan mempunyai empat pemain import, namun saya perlu lihat dulu tahap kecergasan mereka sebelum disenaraikan.

"Status kecergasan pemain import akan diambil kira sama ada mereka akan diturunkan atau sebaliknya pada perlawanan pertama liga.

"Buat masa ini, memang saya sudah ada gambaran tentang barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada aksi pertama dan mungkin tanpa kesemua pemain import," katanya di sini, hari ini.

Negeri Sembilan mengikat empat pemain import musim ini membabitkan pemain musim lalu yang dikekalkan, Herold Mark Goulon, dari Perancis selain pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'azim (JDT) berasal, Levy Madinda dari Gabon.

Dua lagi pemain itu berasal dari Brazil iaitu Anselmo Arruda da Silva atau dikenali sebagai Casagrande, yang juga bekas penyerang Penang FC serta Vinicius Leonel Da Silva, yang julung kali bakal beraksi dalam Liga M.

Menurut Devan, perubahan besar dalam saingan Liga M musim ini dengan maksimum sembilan pemain import dibenarkan serta membabitkan 14 pasukan berbanding 12 pada musim lalu, bakal menjanjikan cabaran yang sengit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 1:52 PM