SESI pasukan NSFC di Arena IRC, Sendayan. -FOTO Azrul Edham
SESI pasukan NSFC di Arena IRC, Sendayan. -FOTO Azrul Edham
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Gandingan dua pemain import dari Brazil, Casagrande dengan Vinicius Da Silva hampir pasti menjadi taruhan utama pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam misi mencipta kemenangan pertama Liga Super musim ini.

Skuad Hobin Jang Hobin bakal menanti kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok, dengan perlawanan bakal menjanjikan saingan sengit berikutan kedua-dua pasukan mahukan kemenangan sebagai pembakar semangat bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua jurulatih, K Devan, tidak menolak sebarang kemungkinan mempertaruhkan kedua-dua pemain import terbabit bagi mengemudi jentera serangan pasukan itu.

"Sememangnya kedua-dua pemain ini berada dalam percaturan kita dan apa yang diharapkan mereka dapat merobek gawang lawan bagi mendapatkan gol.

"Casagrande, seorang pemain yang sudah biasa dengan liga kita dan saya mengenali prestasi dia sewaktu dia bersama Penang FC sebelum ini. Dia sememangnya seorang pemain yang bagus dan boleh menjaringkan gol.

"Dengan bantuan dan sokongan Vinicius Da Silva, saya mengharapkan Casagrande dapat mengekalkan prestasi terbaik sepanjang dia bersama Negeri Sembilan dan seterusnya membantu pasukan mendapatkan keputusan yang baik dalam setiap perlawanan," katanya di sini, hari ini.

Untuk rekod, Casagrande mencetak 31 gol sepanjang tiga musim bersama Penang FC sejak 2019.

Casagrande, 32, dan Vinicius Da Silva, 26, antara lima pemain import yang diikat Negeri Sembilan musim ini termasuk Levy Clemen Madinda, 30, dari Gabon yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, selain pemain musim lalu, Mark Herold Goulon, 34, yang dikekalkan serta Mohammad Safuwan Baharuddin, 32, dari Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 11:00 AM