PEMAIN Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Pee (kanan) dalam perebutan bola dengan pemain KL City FC pada perlawanan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2022 di Cheras, baru-baru ini. FOTO Ihsan NSFC
PEMAIN Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Pee (kanan) dalam perebutan bola dengan pemain KL City FC pada perlawanan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2022 di Cheras, baru-baru ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kejayaan menjulang Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2022 adalah satu permulaan yang baik buat skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam persiapan menjelang tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, 5 Mac ini.

Tonggak pertahanan NSFC, Nasrullah Hanif Johan, akui kejayaan merangkul trofi itu bukan saja menunjukkan pasukan sudah bersedia untuk memulakan cabaran Liga Super musim ini, malah ia juga bakal memberikan motivasi yang tinggi kepada semua pemain.

"Walaupun penyertaan kami dalam pertandingan itu secara tiba-tiba sebagai menggantikan pasukan lain yang menarik diri, namun ia tetap memberikan impak positif kepada pasukan.

"Tambahan pula, tirai saingan Liga Super tidak sampai dua minggu lagi dan kejayaan itu sesuatu yang bagus terutama dalam mengukur tahap keupayaan serta prestasi semasa pasukan.

"Sudah tentunya ia dapat memberikan motivasi yang tinggi kepada setiap pemain sebelum berhadapan cabaran sebenar nanti," katanya di sini, hari ini.

Pada aksi mendebarkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Khamis lalu, Negeri Sembilan menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC, 2-0, menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Matheus Alves Leandro pada minit ke-11.

Gol kedua skuad Hobin Jang Hobin pula dijaringkan menerusi sepakan penalti pemain import dari Perancis, Herold Goulon pada minit ke-90.

Nasrullah berkata, berdasarkan persembahan pada perlawanan itu, ia menunjukkan pasukan berada pada tahap prestasi baik untuk memulakan cabaran dalam Liga Super musim ini.

"Kita sedia maklum tahun ini, Negeri Sembilan dianggotai ramai pemain baharu termasuk tenaga import, namun mereka dilihat sudah dapat menerima corak latihan dan taktikal yang dimahukan ketua jurulatih K Devan.

"Ini suatu perkembangan yang positif dan baik bagi pasukan berbanding pada peringkat awal persiapan," katanya yang masuk musim kedua bersama skuad berkenaan.

Pemain berasal dari Sikamat Seremban itu juga yakin, kekuatan dan kemantapan pasukan akan lebih terserlah menjelang akhir bulan ini apabila persefahaman antara pemain terutama import dapat ditingkatkan lagi.

Malah menurutnya, perkara itu akan dapat dilihat apabila Negeri Sembilan dijadual akan mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC pada 25 Februari ini.

"Ketua jurulatih sudah pasti akan melihat apa juga kekurangan atau kelemahan yang ada dalam pasukan pada aksi persahabatan dengan UiTM itu nanti, supaya ianya dapat diperbaiki secepat mungkin.

"Mungkin juga beliau (Devan) akan menjadikan aksi itu nanti sebagai asas dalam memilih kesebelasan utama pasukan," kata pemain berpengalaman yang membantu Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu.

Bagi Nasrullah, dia sendiri sudah bersedia untuk menggalas cabaran pasukan itu musim ini dan mengharapkan tempatnya dalam kesebelasan utama, tidak terjejas walaupun akui terpaksa bersaing dengan beberapa pemain lain yang berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 6:24 PM