TAKUMI Sasaki dari Jepun dikatakan buruan NSFC. FOTO Agensi
TAKUMI Sasaki dari Jepun dikatakan buruan NSFC. FOTO Agensi
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) yang sedang dalam persiapan membentuk sebuah pasukan baharu dan mantap bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025, dikatakan sedang meneliti beberapa pemain import yang sesuai untuk memperkuatkan pasukan itu.

Selepas menamatkan kontrak kesemua lima pemain import musim lalu, kelab berkenaan dikatakan sedang dikaitkan dengan seorang pemain yang juga perancang tengah dari Jepun iaitu Takumi Sasaki.

Pemain muda berusia 25 tahun itu yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan bawah 19 tahun Jepun dikatakan sedang diintai kelab terbabit dalam usaha membentuk kekuatan seimbang di semua bahagian.

"Seperti biasa kita meneliti beberapa pemain import dari pelbagai negara yang sesuai untuk diserapkan dalam pasukan.

"Bagaimanapun setakat ini kita belum membuat keputusan untuk memilih mana-mana pemain import, namun proses pemilihan itu terus berjalan.

"Walaupun timbul pelbagai desas desus tentang beberapa nama pemain import yang dikaitkan dengan pasukan Negeri Sembilan tetapi semuanya itu hanyalah spekulasi. Tunggu sehingga kami umumkan secara rasmi nama pemain berkenaan," kata sumber kelab berkenaan hari ini.

Kehadiran pemain Jepun ke Negeri Sembilan bukan suatu perkara baharu kerana sebelum ini skuad Hobin Jang Hobin pernah menggunakan khidmat Bruno Suzuki yang berasal dari negara matahari terbit itu.

Sasaki yang beraksi bersama Ehime FC dalam J2 musim lalu dikatakan turun dalam 22 perlawanan dengan dua jaringan berjaya direkodkan.

Sementara itu, menerusi laporan sebuah portal, Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus memaklumkan kelab berkenaan berkemungkinan hanya akan menggunakan khidmat lima pemain import berbanding sembilan pemain berkenaan yang dibenarkan oleh pengelola liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim ini.

Faliq menjelaskan pihaknya akan menggunakan khidmat pemain terbabit bagi mengisi posisi penting dalam kesebelasan utama terutama di bahagian serangan.

"Kemungkinan kita hanya guna lima pemain import dari pelbagai negara untuk posisi penting seperti di bahagian tengah dan serangan," katanya.

Setakat ini, Negeri Sembilan belum mengumumkan nama ketua jurulatih bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan K Devan.

Difahamkan nama pengendali terbabit sudah dimuktamadkan dan dijangka diumumkan awal bulan depan bagi membolehkan persiapan latihan awal dapat dimulakan dalam tempoh terdekat.

Terdapat lima pemain musim lalu yang kekalkan dalam pasukan itu setakat ini membabitkan Zainal Abidin Jamil, Izzudin Roslan, N Javabilarivin, R Aroon Kumar dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 3:44 PM