MESSI dipakaikan jubah bisht sebelum menjulang Piala Dunia. FOTO AFP
MESSI dipakaikan jubah bisht sebelum menjulang Piala Dunia. FOTO AFP
Agensi

London: Seorang peguam menawarkan Lionel Messi AS$1 juta (RM4.4 juta) untuk jubah bisht yang dipakainya semasa menjulang Piala Dunia.

Ahmed Al Barwani, seorang peguam dan ahli parlimen di Oman, mengemukakan tawaran lumayan itu dengan harapan untuk mengekalkan pakaian bersejarah itu di Timur Tengah.

Melalui Twitter, beliau berkata: "Mewakili Kesultanan Oman saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana memenangi Piala Dunia Qatar 2022.

"Bisht Arab, simbol kesatria dan kebijaksanaan. Saya menawarkan anda satu juta dolar untuk mendapatkan bisht itu."

Bisht, iaitu jubah yang dihadiahkan kepada Messi sejurus sebelum dia menjulang Piala Dunia, adalah jubah tradisional lelaki di dunia Arab yang sering dipakai oleh individu berstatus tinggi.

Pemakaian bisht dikhaskan untuk majlis-majlis khas, dan dilihat sebagai tanda penghargaan serta penghormatan.

Al Barwani memberitahu The National: "Saya berada di stadium menonton detik itu secara langsung apabila Emir Qatar memberi Messi bisht.

"Detik itu memberitahu dunia bahawa kami berada di sini dan ia adalah budaya kami. Jadi sila fahami sebaik-baiknya.

"Ia akan dipaparkan untuk memperingati detik kebanggaan itu, dan untuk membantu kami menghidupkan budaya itu semula."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 9:06 PM