Dr Mohd Sukki Othman (kiri) ketika melawat Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (kanan). FOTO IHSAN TKM1
Dr Mohd Sukki Othman (kiri) ketika melawat Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (kanan). FOTO IHSAN TKM1
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Aspek keilmuan dan penyelidikan menjadi antara fokus Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman apabila dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang baharu.

Beliau berkata, ia akan diperkasakan terutama untuk menjawab isu-isu semasa berkaitan agama yang memerlukan penerangan yang tepat.

Menurutnya, selain itu, antara usaha lain yang akan dipertingkatkan termasuklah membantu perkembangan keilmuan dalam masyarakat.

"Begitu juga untuk menyebarluaskan isu-isu yang difatwakan. Kadang-kadang fatwa itu orang tak tahu. Jadi saya fokus kepada itu," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa semalam turut ingin memberi tumpuan kepada penyatuan pemahaman yang menjadi punca pertelingkahan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, dengan cara itu ia dapat mengatasi isu fahaman oleh golongan ekstrem yang membawa kepada pergaduhan serta permusuhan sesama Islam.

"Pertembungan ini turut berlaku kepada ilmuan, ada pasukan dan kumpulan masing-masing yang pada saya tidak sihat.

"Jadi kita nak kurangkan pergeseran itu. Terutama dalam benda-benda khilaf. Benda-benda khilaf ini, satu perkara yang sepatutnya kita dapat bekerjasama.

"Kita mahu semua dapat duduk sekali, saling menghormati di antara satu sama lain. Apa yang penting ialah kita nak bawa kasih sayang, persaudaraan yang betul-betul dimantapkan.

"Sebab kita nak kembali kepada umat Islam yang bersaudara. Umat Islam yang ada kekuatan. Sebagaimana yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW," katanya.

Mohd Sukki berkata, beliau mengharapkan kerjasama semua pihak dalam usaha menyatu dan memperkukuhkan umat Islam di Pulau Pinang.

"Saya baru masuk pejabat semalam. Insya-Allah banyak lagi yang kita akan buat demi kebaikan agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:39 PM