Zahirah Macwilson
Zahirah Macwilson
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Berani untuk katakan tidak kepada adegan merokok, demi untuk kesihatan anda sendiri dan untuk masyarakat."

Demikian pesan laman Facebook Public Health Malaysia susulan kenyataan penerbit drama di platform X mengenai pelakon Zahirah Macwilson yang sanggup menghisap rokok demi menjayakan watak dalam sebuah drama bersiri.

Public Health Malaysia adalah platform yang menyampaikan maklumat mengenai perkembangan dan isu berkaitan kesihatan awam serta menfokus kepada pencegahan, perlindungan dan promosi kesihatan.

Perkongsian platform itu turut membandingkan budaya kerja penerbitan K-Drama di Korea Selatan.

"Kejayaan industri K-Drama di Korea Selatan adalah fenomena budaya dan ekonomi yang hebat, ia didorong oleh produksi yang berkualiti, lakonan yang berkesan serta menggunakan tema universal yang menarik untuk tontonan seisi keluarga.

"Apa yang menarik, produksi Korea sudah mengharamkan sama sekali adegan merokok dalam drama. Ini membuktikan, untuk menghasilkan satu hasil produksi yang hebat dan lakonan yang berimpak tinggi, tidak perlu menggunakan asap rokok pun.

"Agak menyedihkan situasi di Malaysia, apabila pelakon Zahirah Macwilson perlu melakonkan watak seorang wanita yang merokok, walaupun beliau sendiri bukan perokok dan membenci tabiat itu.

"Kepada semua pelakon dan penggiat seni, teguhkan prinsip dalam kerjaya dengan meletakkan garis-garis sempadan dalam hasil kerja anda," katanya.

Perkongsian itu juga tegas dan mengingatkan anak seni tempatan perlu mengelakkan diri daripada dipergunakan oleh industri tembakau.

"Jangan dipergunakan oleh industri tembakau untuk menjadi promoter produk merokok kepada masyarakat. Anda lebih bernilai dari itu," katanya.

Terdahulu, penerbit drama itu Datuk Saniboey Mohd Ismail membuat ciapan di aplikasi X yang memuji kesungguhan Zahira Macwilson dalam menjayakan wataknya sebagai wartawan jenayah.

"Zahira Macwilson ni antirokok tapi demi wataknya dalam Metro Crime Series, dia buat aku sendiri percaya yang dia perokok. Amazing actress. Salute (pelakon yang hebat)," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:43 PM