NAAJI Noushi mengembara ke Qatar. FOTO Agensi
NAAJI Noushi mengembara ke Qatar. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Wanita berasal dari India yang juga pengembara dan YouTuber melakukan perjalanan solo dari Kerala, negeri di selatan India ke Qatar untuk menonton pemain kegemarannya, Lionel Messi, beraksi dalam Piala Dunia terakhirnya.

Naaji Noushi, 33, yang kini menetap di Oman bersama suaminya Noushad dan lima anak berusia dua hingga 14 tahun memaparkan kisah perjalanannya di YouTube, dan perkongsian itu akan memberi inspirasi kepada wanita lain untuk mengejar impian mereka.

The National News melaporkan, video kisah Naaji menarik jutaan tontonan di saluran YouTubenya bertajuk Naajinoushi Solo Mom Traveller, memulakan perjalanannya pada 15 Oktober dari daerah Kannur di utara Kerala.

Dia merancang untuk tiba di Qatar pada 10 Disember, lapan hari sebelum perlawanan akhir Piala Dunia di Doha.

Naaji memandu kenderaan pelbagai guna Mahindra Thar bernama 'Olu' yang bermaksud perempuan yang mempunyai dapur dan khemah yang dipasang pada bumbungnya.

Dia merancang untuk melawat Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait dan Arab Saudi sebelum tiba di Qatar.

Naaji berkata, matlamat utamanya adalah melihat aksi Messi yang juga penyerang Argentina, dan pemenang Ballon d'Or, tujuh kali itu.

"Saya peminat tegar Messi," kata Naaji ketika dalam perjalanan ke Hampi, tapak warisan dunia yang terletak di Karnataka.

Wanita itu berkata, ini adalah Piala Dunia untuk Messi dan dia mahu mahu meraikannya dengan seluruh dunia.

"Saya berada di sana untuk bersorak untuk Argentina.

"Sejak saya mula menonton bola sepak, saya terpesona dengan Messi dan cara dia bermain. Dia seperti 'manusia buatan' dan contoh dalam banyak cara," katanya.

Dia juga mahu menjadi teladan kepada anaknya.

"Biasanya, anak sentiasa memandang tinggi kepada bapa mereka.

"Ibu yang menjadi suri rumah seperti saya, tiada pencapaian yang boleh membanggakan mereka. Saya mahu mengubahnya," katanya.

Sebagai seorang pengembara, ia bukan perjalanan solo pertama Noushi.

Februari lalu, dia mendokumentasikan perjalanannya ke Nepal di media sosial, dan tiba di kem induk Gunung Everest dalam masa lima hari sahaja.

Ogos lalu, dia memandu sejauh 13,000 kilometer ke seluruh India meliputi 17 negeri dan lima Wilayah Kesatuan untuk tiba ke rantau Himalaya.

Saluran YouTubenya kini mempunyai lebih 61,000 pelanggan dan hampir 8,000,000 tontonan. Dia juga mempunyai lebih 42,000 pengikut di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 1:07 PM