KETIBAAN Blanco, Ledezma, Gatti dan Villarruel disambut sekumpulan penyokong Argentina di mercu tanda jam penghitung detik Piala Dunia. FOTO Reuters
KETIBAAN Blanco, Ledezma, Gatti dan Villarruel disambut sekumpulan penyokong Argentina di mercu tanda jam penghitung detik Piala Dunia. FOTO Reuters
AFP

Doha: Penyokong Argentina yang tiba awal yakin aksi terakhir Lionel Messi di Piala Dunia akan berakhir dengan kejayaan selepas pasukan Amerika Selatan itu muncul pasukan pertama membina kem latihan di Qatar.

Kumpulan penyokong mereka berkumpul di mercu tanda jam penghitung detik Piala Dunia di kawasan pantai di Doha sambil bersorak nama Messi selain mengibarkan bendera, 13 hari sebelum kejohanan bermula pada ketika polis terus memerhatikan permulaan demam bola sepak di negara Teluk itu.

Ramai antara mereka berkunjung ke menara jam itu untuk menyambut ketibaan Matías Villarroel, Silvio Gatti, Leandro Blanco dan Lucas Ledezma yang berkayuh sejauh 10,500 kilometer (km) melintasi Afrika untuk sampai ke Doha, hari ini.

Namun Messi sentiasa berada di minda mereka serta penyokong yang lain.

"Impian di sebalik kayuhan ini adalah Argentina akan menang Piala Dunia dan menjulang trofi pada 18 Disember," kata Blanco.

Ketika Argentina menang Piala Dunia 1978 dan 1986, Messi yang juga antara pemain terhebat dunia hanya berbangga dengan pencapaian tewas pada aksi final 2014.

"Emosi yang kami lalui amat hebat, kami menghabiskan enam bulan mengayuh basikal menerusi Afrika dan Timur Tengah untuk berada di sini, di Doha untuk pesta ini."

"Kami sangat yakin dan begitu berharap ketika lakukan perkara gila ini, kami akan memulakan Piala Dunia yang indah di sini, di Qatar."

Kumpulan pertama staf teknikal Argentina dan pegawai persekutuan bola sepak mereka dijangka tiba hari ini di Doha dan menubuhkan pangkalan latihan dekat sebuah universiti.

Sebahagian penyokong mereka datang untuk bekerja di Qatar berbulan lalu sambil berharap dapat mengumpul wang dan boleh menyaksikan Messi serta pasukan kebangsaan mereka.

Argentina yang tidak tewas dalam 35 perlawanan sejak 2019 akan memulakan kempen Kumpulan C menentang Mexico, Poland dan Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 11:48 AM