MESSI (kiri) dan Mbappe berkongsi kedudukan penjaring terbanyak dengan lima gol.
MESSI (kiri) dan Mbappe berkongsi kedudukan penjaring terbanyak dengan lima gol.
Reuters

Doha: Selepas hampir sebulan yang memukau dan berlaku beberapa kejutan oleh pasukan kerdil, final Piala Dunia, Ahad ini, bakal menemukan dua skuad gergasi dalam bola sepak dunia yang masing-masing memburu trofi ketiga mereka.

Argentina sebelum ini mengalami kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan apabila tewas kepada Arab Saudi pada perlawanan pembukaan kejohanan manakala Perancis yang menurunkan skuad kedua dimalukan Tunisia pada perlawanan terakhir kumpulan.

Argentina bangkit menjuarai kumpulan sebelum sekali lagi cemas ketika menyingkirkan Australia 2-1 di pusingan 16 terakhir dan kemudian mensia-siakan pendahuluan 2-0 hingga 10 minit terakhir aksi suku akhir menentang Belanda apabila seri 2-2 pada masa tambahan, sebelum mara menerusi penentuan sepakan penalti.

Mereka menemui rentak sebenar ketika menang 3-0 ke atas Croatia, yang menyingkirkan Brazil di suku akhir, untuk mara ke final dengan bergaya.

Perancis pula dilihat sebagai pasukan terbaik kejohanan menerusi dua perlawanan awal dan bangkit selepas kekalahan di tangan Tunisia dengan menewaskan Poland 3-1 di pusingan 16 terakhir.

Tahap sebenar mereka diuji menentang England di suku akhir sebelum menang 2-1 dan walaupun kurang mencipta peluang serta lebih banyak bertahan ketika mengatasi Maghribi 2-0 di separuh akhir, mereka mara ke final.

Sudah tentu, apa yang berlaku dalam enam perlawanan awal itu tidak akan banyak mempengaruhi pasukan yang meraih kemenangan ketujuh di final di Stadium Lusail yang mampu memuatkan 88,000 orang, malam Ahad ini.

Cerita utama menjadi tumpuan dunia adalah sama ada Lionel Messi mampu menjulang trofi dalam percubaan kelima yang akhirnya meletakkan dirinya setanding mendiang Diego Maradona, sebagai jantung kepada negaranya.

Jika tidak mampu mengemudi pasukan secara emosi seperti dilakukan Maradona ketika menjulang trofi kali kedua untuk negaranya pada 1986, Messi, 35, sudah kerap mencipta magis di tengah padang terutama pada saat genting.

Final nanti akan menandakan penampilan ke-26 buatnya di Piala Dunia dan satu rekod baharu yang mengatasi pencapaian mana-mana pemain.

Tetapi, pemain pertahanan Perancis yang tidak dibolosi pada tiga aksi di peringkat kalah mati sedar mereka perlu kuat fizikal dan mental untuk mengekang Messi.

Malah, Perancis turut memiliki kepantasan penyerang muda, Kylian Mbappe, gaya permainan lama penyerang berbisa, Olivier Giroud dan kreativiti Antoine Griezmann sebagai senjata untuk memusnahkan lawan.

Pada ketika Messi menggabungkan kombinasi kekuatan dan kemahiran luar biasa untuk menjaringkan gol ketiga Argentina ketika mennang 3-0 ke atas Croatia, Mbappe mempamerkan kepantasan menggelecek untuk merobek benteng Maghribi dan mencipta gol kedua Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 10:05 PM