PELUANG terakhir Messi untuk julang trofi Piala Dunia. FOTO AFP
PELUANG terakhir Messi untuk julang trofi Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Doha: Lionel Messi berharap untuk melengkapkan kerjaya cemerlangnya dengan membawa Argentina menjulang Piala Dunia esok tetapi Kylian Mbappe memburu sejarah Perancis bakal menjadi penghalangnya.

Piala Dunia Qatar dicemari oleh kontroversi di luar padang tetapi ia berakhir dengan prospek menggembirakan untuk perlawanan akhir antara dua kuasa bola sepak global.

Perancis mungkin memerlukan setiap jam yang ada menjelang sepak mula selepas kem mereka dilanda masalah kesihatan, memaksa beberapa pemain tidak berlatih dan membuatkan jurulatih, Didier Deschamps sakit kepala di atas perkara tidak diingini itu.

Argentina dan Perancis sama-sama mensasarkan untuk memenangi trofi itu buat kali ketiga, dengan Les Bleus kembali ke pusingan akhir empat tahun selepas kejayaan mereka di Moscow.

Gelaran berturut-turut akan menjadi pencapaian paling diingati bagi pasukan yang dibimbing oleh Deschamps, satu-satunya pasukan yang pernah melakukannya sebelum ini ialah Itali ketika era 1930-an dan Brazil pada 1958 dan 1962.

Namun potensi pencapaian itu mampu dihalang oleh usaha Messi untuk memenangi hadiah utama dalam permainan bola sepak yang hampir pasti perlawanan Piala Dunia terakhirnya.

Bekas bintang Barcelona itu memenangi segala-galanya di peringkat kelab, juga merangkul Ballon d'Or tujuh kali, dan tahun lalu membawa Argentina memenangi Copa America.

Messi cemerlang dalam Piala Dunia kelimanya apabila pasukan itu bangkit daripada kekalahan mengejut kepada Arab Saudi, manakala gandingannya, Julian Alvarez, sudah menjaringkan empat gol.

"Memang menarik untuk berada di final, tetapi masih ada satu langkah lagi," kata jurulatih Argentina Lionel Scaloni.

Berusia 35 tahun dan didorong oleh keinginannya untuk menebus kekalahan kepada Jerman pada perlawanan akhir 2014, Messi menjaringkan lima gol dan menghasilkan beberapa bantuan jaringan yang hebat.

Perlawanan esok berkemungkinan menjadi peluang terakhirnya untuk menyamai pencapaian Diego Maradona, yang memberi inspirasi kepada Argentina untuk menang di Mexico pada 1986.

"Saya benar-benar menikmati diri saya sendiri. Saya berasa gembira sepanjang Piala Dunia ini," kata Messi selepas kemenangan separuh akhir Argentina 3-0 menentang Croatia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 1:19 PM