Bintang Argentina, Lionel Messi. FOTO Reuters
Bintang Argentina, Lionel Messi. FOTO Reuters
Reuters

Lusail, Qatar: Argentina memenangi Piala Dunia, sebentar tadi, apabila berjaya menewaskan juara bertahan Perancis, 4-2 menerusi penentuan penalti selepas seri 3-3 dalam aksi tambahan masa penuh dramatik.

Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menyelamatkan penalti Kingsley Coman dan rembatan Aurelien Tchouameni tersasar untuk memberikan Argentina kejuaraan dunia pertama mereka sejak 1986, dan ketiga keseluruhan.

Perancis bangkit daripada ketinggalan dengan dua gol untuk menyamakan kedudukan dalam tempoh 90 minit ketika Kylian Mbappe meledak dua gol dalam masa dua minit, termasuk penalti pada minit ke-80.

Penyerang Perancis itu melengkapkan hatrik pada minit ke-118 dengan satu lagi penalti selepas bintang Argentina, Lionel Messi menolak masuk gol untuk mendahului 3-2 dalam minit ke-109.

Argentina mendahului selesa 2-0 pada babak pertama dengan Messi mencipta rekod penampilan ke-26 dalam aksi Piala Dunia, menyempurnakan penalti pada minit ke-23.

LLORIS gagal selamatkan keempat sepakan penalti Argentina. -FOTO AFP
LLORIS gagal selamatkan keempat sepakan penalti Argentina. -FOTO AFP

Skuad La albiceleste meledak sekali lagi dengan gerakan menarik membabitkan empat sentuhan daripada serangan balas membolehkan Alexis Mac Allister mengumpan bola kepada Angel Di Maria yang berjaya menjaringkan gol dengan baik.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Messi, 35, di penampilan kelima dan final menjulang trofi dia dan negaranya mahukan, untuk meletakkan dia sebaris Diego Maradona selepas legenda Argentina itu mencetus inspirasi kemenangan kedua Piala Dunia pada 1986 susulan kejuaraan pertama mereka pada 1978.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 2:29 AM