PEMAIN Colombia  Luis Muriel (tengah) diasak pemain Uruguay pada aksi suku akhir Copa America. FOTO EPA
PEMAIN Colombia Luis Muriel (tengah) diasak pemain Uruguay pada aksi suku akhir Copa America. FOTO EPA
Agensi

Brasilia: Colombia akan berusaha mencipta kejutan dan mara ke final Copa America kali pertama di luar negara mereka apabila menentang skuad Lionel Messi Argentina pada aksi separuh akhir esok.

Los Cafeteros tewas enam aksi terakhir separuh akhir di venue neutral kejohanan dan dua kali tampil di final pada 1975 dan 2001 dengan satu daripadanya di tempat sendiri.

Skuad Reinaldo Rueda menewaskan Uruguay menerusi penentuan penalti pada suku akhir. David Ospina menyelamatkan dua penalti selepas kedua-dua pasukan seri 0-0 dalam tempoh 90 minit.

Aksi sukar menentang Argentina di Brasilia menunggu mereka dan Rueda yang hanya dilantik Colombia pada Januari lalu gembira dengan kemajuan pasukannya dalam tempoh pendek itu.

"Kami bermain permainan kolektif menentang Uruguay dengan banyak kerjasama dan keseimbangan yang betul,'' katanya. "Semua ini membantu kami untuk terus memperbaiki prestasi.

"Kami akan terus meminta lebih lagi daripada diri sendiri dalam setiap sesi sebelum aksi seterusnya."

Jika Colombia mahu menyekat Argentina, mereka perlu melakukan apa yang Ecuador, Bolivia dan Chile gagal lakukan iaitu menyekat Messi.

Dia mengetuai senarai penjaring terbanyak Copa America dengan empat gol termasuk sepakan percuma memukau ketika menewaskan Ecuador di suku akhir serta mencipta empat bantuan jaringan.

Messi tidak pernah menjuarai trofi bersama Argentina dan ia kekal fokus utama bintang itu menjelang aksi separuh akhir.

"Saya selalu berkata hadiah individu adalah yang kedua. Kami di sini atas sebab lain. Kami ada objektif dan fokus untuk itu.''

Argentina melepaskan dua gol awal ketika seri 2-2 dengan Colombia pada pertemuan terakhir mereka bulan lalu, perlawanan yang masih menghantui memori Messi.

"Mereka menafikan peluang kami walaupun kami menguasai perlawanan. Itu sebabnya kami tidak boleh mengambil mudah," kata Messi. "Kami perlu bermain dengan cara kami dan terus memegang bola.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:08 AM