PEPE terlepas peluang keemasan menjaringkan gol. -FOTO AP
PEPE terlepas peluang keemasan menjaringkan gol. -FOTO AP
AFP

Doha: Pemain Portugal Pepe dan Bruno Fernandes membidas pengadil Argentina yang bertanggungjawab ke atas kekalahan mereka di suku akhir Piala Dunia apabila tewas kepada Maghribi 0-1 dengan mendakwa kewarganegaraannya memberi kesan kepada permainan.

Argentina mara ke separuh akhir Sabtu lalu apabila menewaskan Belanda dan sekiranya mereka mara ke final, mungkin akan berdepan Maghribi jika negara Afrika Utara itu menang di separuh akhir menentang Perancis.

Pengadil perlawanan Facundo Tello, dua pembantunya dan pembantu pengadil video semuanya dari Argentina.

"Adalah tidak boleh diterima pengadil Argentina mengendali permainan kami," kata Pepe.

"Selepas apa yang berlaku semalam dengan (Lionel) Messi bercakap, semua pemain Argentina dan pengadil datang ke sini.

"Apa yang kami pamerkan di separuh masa kedua? Penjaga gol itu jatuh ke tanah. Hanya ada lapan minit masa berhenti. Kami bekerja keras dan pengadil (hanya menambah) lapan minit."

Messi mengadu tentang pengadil yang mengendali pertembungan Argentina dengan Belanda mengatakan terlalu banyak masa ditambah.

Aduan Portugal pula terlalu sedikit masa ditambah dalam pertembungan mereka dengan Maggribi dan mereka mengkritik kononnya skuad Afrika Utara itu banyak membuang masa di separuh masa kedua.

Bruno Fernandes mengadu bahawa lebih banyak masa kecederaan patut ditambah dan pengadil dari pasukan yang masih terbabit tidak harus dilantik untuk mengadili perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 8:18 AM