PENYOKONG Argentina percaya, selagi Messi tidak memenangi gelaran utama bersama negaranya, dia tidak akan menyamai pencapaian legenda sepanjang zaman, Diego Maradona. - Foto EPA
PENYOKONG Argentina percaya, selagi Messi tidak memenangi gelaran utama bersama negaranya, dia tidak akan menyamai pencapaian legenda sepanjang zaman, Diego Maradona. - Foto EPA

MANCHESTER, England: Lionel Messi yang terdesak melengkapkan karier gemilangnya dengan kilauan trofi utama antarabangsa, memulakan perjalanan Piala Dunia awal pagi Sabtu ini apabila Argentina menentang Itali pada aksi persahabatan antarabangsa.

Bersama Barcelona, tiada satu gelaran pun tercicir dalam koleksinya, memenangi lapan gelaran La Liga dan empat Liga Juara-Juara, serta lima kali memenangi anugerah Ballon d’Or FIFA.

Namun dalam jersi biru putih Argentina, hanya detik mengecewakan mengisi karier Messi yang gagal mengulangi kecemerlangan di kelab ketika mewakili negaranya.

Kebanyakan penyokong Argentina percaya, selagi Messi tidak memenangi gelaran utama bersama negaranya, dia tidak akan menyamai pencapaian legenda sepanjang zaman, Diego Maradona yang menjuarai Piala Dunia 1986.

Messi terlepas tiga kejuaraan besar bersama Argentina - final Piala Dunia 2014, Copa America 2015 dan 2016.

“Saya kerap menangis kerana perlawanan sebegini, tewas di final dan kerana tidak mampu memenuhi impian negara. Ia tamparan yang begitu besar,” kata Messi.

Piala Dunia lalu begitu menyakitkan buat Messi apabila dia gagal meletakkan Argentina di depan ketika final bertemu Jerman, yang kemudian menang 1-0 selepas masa tambahan.

Lebih mengecewakan, buat kali pertama dalam kariernya Messi tersasar dalam penentuan penalti ketika Argentina tewas kepada Chile pada final Copa America dua tahun lalu.

Messi, 30, bagaimanapun percaya peluang terakhirnya kini terletak di Piala Dunia Russia bermula Jun ini, untuk dia menjulang trofi emas teragung itu.

Argentina akan berdepan Croatia, Iceland dan Nigeria dalam Kumpulan D. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 12:50 PM