ASENSIO ketawa pada sidang media, hari ini selepas kejayaan Sepanyol membelasah Costa Rica 7-0. FOTO AP
ASENSIO ketawa pada sidang media, hari ini selepas kejayaan Sepanyol membelasah Costa Rica 7-0. FOTO AP
AFP

Doha: Selepas membelasah Costa Rica, Marco Asensio yakin Sepanyol mengelak daripada perangkap sikap terlalu yakin apabila menentang Jerman, Ahad ini.

Anak buah Luis Enrique memulakan kempen memburu trofi Piala Dunia kedua dengan kemenangan 7-0 ke atas pasukan Amerika Tengah itu, awal pagi tadi, dengan Asensio menjaringkan gol kedua.

Sepanyol hadir ke Qatar sebagai antara pasukan berbakat dan bersama England serta Perancis, mereka mampu mencatat kemenangan meyakinkan.

"Perlawanan semalam mengesahkan kami perlu berada di landasan tepat dan bermain dengan cara begini," kata Asensio yang juga pemain sayap Real Madrid.

"Ia memberikan kami keyakinan tinggi mengenai apa yang akan dihadapi dan kami akan terus bergerak seperti ini. Kami tidak akan dibuai sikap terlalu yakin kerana jurulatih tidak akan membenarkannya."

Enrique menggunakan khidmat Asensio di tengah ketika menentang Costa Rica, manakala penyerang tengah semulajadi tunggal dalam skuad itu, Alvaro Morata, masuk sebagai pemain gantian.

"Sejak hari pertama, jurulatih memberitahu saya boleh bermain di pelbagai posisi," kata Asensio.

"Posisi No 9 bermakna ada perlu berada di tempat yang tepat dan membuka ruang kerana kami bermain sebagai satu pasukan.

"Dia meminta saya mengatur koordinasi dengan pemain tengah dan pemain sayap supaya semua orang bermain di tempatnya."

Ia adalah kemenangan terbesar Sepanyol dalam sejarah Piala Dunia dan Asensio percaya Enrique adalah pakar motovasi hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 9:51 PM