Nazdy Harun


Marang: Meskipun menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebalik tirai besi, ia bukan halangan bagi dua banduan Sekolah Intergriti Penjara Marang, meraih keputusan cemerlang.

Mohd Alif (bukan nama sebenar) berkata, status banduan menjadikan pemangkin semangat buatnya untuk berjaya dalam SPM.

Menurutnya yang berjaya memperoleh 8A di dalam peperiksaan SPM berkata, dia bertekad ingin membuktikan kepada keluarga dan masyarakat yang dia juga mampu berjaya seperti pelajar lain.

Katanya, dia turut berhasrat untuk melanjutkan pengajian selepas dibebaskan dari penjara kerana ingin mengubah nasib keluarganya.

"Dengan keputusan SPM ini saya hendak ubah hidup saya. Halangan dalam penjara sememangnya banyak tapi saya anggap ia sebagai cabaran.

"Setiap cabaran sama ada kita boleh hadapi atau tidak dan alhamdulillah saya berjaya buktikan pada keluarga dan masyarakat bahawa banduan juga mampu meraih kejayaan," kata anak sulong daripada enam beradik itu.

Rakannya, Ahmad Abdullah (bukan nama sebenar) berkata, dia turut berbangga dengan keputusan SPM yang diperoleh rakannya itu walaupun hanya mereka berdua saja menduduki SPM di sekolah berkenaan.

"Kejayaan yang dikecapi rakan saya itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk menempuh cabaran hidup dan kami berdua berharap akan sama-sama ke menara gading selepas dibebaskan nanti.

"Sebagai rakan karib Alif, saya bangga dengannya dan jauh sekali untuk cemburu keputusan yang diperolehnya, walaupun saya hanya memperoleh 4A sahaja," katanya.

Menurutnya, walaupun 4A ia sudah memadai buatnya dan keputusan itu sudah mampu membanggakan keluarganya terutama ibunya.

Katanya, mereka lazimnya akan mengulangkaji pelajaran bersama-sama dan sentiasa memberikan fokus ketika guru sedang mengajar memandangkan mereka berdua tidak mempunyai kemudahan seperti rakan-rakan lain untuk dijadikan rujukan.

Sementara itu, Pengarah Penjara Marang Mohamad Jusoh Ismail berkata, dengan keputusan SPM yang diperoleh calon terbabit membuktikan tiada halangan untuk seseorang berjaya walaupun di mana mereka berada.

"Kita bangga dengan pelajar yang ada di sini walaupun belajar dengan kekangan masa terhad selain kemudahan juga terhad, mereka boleh juga mengecapi kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:15 PM