ASENSIO (dua dari kiri) ketika berlatih bersama Sepanyol. FOTO/AFP
ASENSIO (dua dari kiri) ketika berlatih bersama Sepanyol. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Manchester United bersedia memecahkan rekod pembelian pemain kelab itu dengan menandatangani bintang Real Madrid, Marco Asensio.

Penyerang kelab gergasi Sepanyol itu sudah lama diintai oleh pengurus, Jose Mourinho dan United dikatakan sedang menyediakan dana 177 juta pound (RM972.5 juta) bagi mendapatkan pemain berusia 21 tahun itu.

Menurut akhbar sukan Sepanyol, Don Balon perpindahan itu akan memecahkan rekod pembelian yang dilakukan oleh United sebelum ini, ketika mendapatkan Paul Pogba dengan nilai 89 juta pound (RM489 juta) pada musim panas 2016.

Akhbar itu turut mendakwa pengendali dari Portugal itu sudah bertemu Asensio bagi perpindahan itu.

Difahamkan, dia boleh mendapat bayaran setinggi 24 juta pound (RM131.8 juta) semusim jika perpindahan itu dimeterai atau gaji mewah 461,000 pound (RM2.53 juta) seminggu.

Sekiranya menjadi kenyataan, Asensio akan menandatangani kontrak untuk kekal di Old Trafford selama lima tahun.

Berita mengenai perpindahan pemain muda itu timbul selepas United dipercayai bersedia untuk berbelanja besar ketika jendela perpindahan musim depan.

Asensio beraksi dengan baik bersama Real bagi kempen musim ini dan sudah menjaringkan empat gol serta dua umpanan dalam lapan penampilan. Dia juga disenaraikan dalam skuad Sepanyol bagi aksi rehat antarabangsa.

Ketika Sepanyol menang 5-0 ke atas Costa Rica, Sabtu lalu, Asensio dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-65 bagi menggantikan rakan sepasukannya Isco.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 2:53 PM