PSG masih lagi cuba menyesuikan diri dengan corak latihan Enrique. FOTO AFP
PSG masih lagi cuba menyesuikan diri dengan corak latihan Enrique. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Rekrut baharu Paris Saint Germain (PSG), Lucas Hernandez berkata pasukannya masih menyesuaikan diri dengan jurulatih baharu Luis Enrique.

Dia berkata mereka perlu mengetepikan kegagalan tidak memenangi satu perlawanan pun dalam jelajah pramusim di Jepun.

Juara Perancis itu tewas 1-2 kepada Inter Milan di Tokyo, selepas seri 0-0 dengan kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr dan tewas 2-3 kepada pasukan Liga J, Cerezo Osaka minggu lalu.

Jelajah pramusim itu dibayangi oleh ketiadaan penyerang bintang, Kylian Mbappe, yang diketepikan daripada skuad pada malam sebelum mereka bertolak, menimbulkan keraguan mengenai masa depannya dengan PSG.

Hernandez, yang menyertai dari Bayern Munich pada musim panas ini, berkata pasukan itu masih cuba menyesuaikan diri berada di bawah kendalian Enrique.

"Kami tidak bimbang. Memang benar dalam bola sepak apa yang paling penting adalah keputusan, tetapi kami sedar ketika ini kami sedang menyesuaikan diri dengan jurulatih baharu yang menuntut banyak perkara daripada kami," kata pemenang Piala Dunia 2018 itu

PSG mendahului menerusi Vitinha pada awal babak kedua namun dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir daripada pemain Inter, Sebastiano Esposito dan Stefano Sensi membolehkan naib juara Liga Juara-Juara itu meraih kemenangan.

"Kami bermain baik pada babak pertama dan memulakan separuh masa kedua dengan baik juga, tetapi selepas itu kami perlu lebih mantap dan cuba mengekalkan keputusan, kerana akhirnya ia paling penting," kata Hernandez.

Neymar antara pemain gantian PSG tetapi dia hanya memanaskan bangku simpanan.

Pemain Brazil itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan di buku lali kanan Februari lalu dan menjalani pembedahan bulan berikutnya.

Hernandez memulakan perlawanan di samping pemain baharu PSG, Manuel Ugarte, Milan Skriniar dan Marco Asensio.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 10:59 AM