FUELLKRUG (kiri) menjaringkan gol penyamaan ketika Jerman seri 1-1 dengan Sepanyol. FOTO EPA
FUELLKRUG (kiri) menjaringkan gol penyamaan ketika Jerman seri 1-1 dengan Sepanyol. FOTO EPA
Reuters

Doha: Jerman perlu menang kali pertama di Piala Dunia kali ini dengan jumlah jaringan besar ke atas Costa Rica pada perlawanan terakhir Kumpulan E, awal pagi Jumaat, bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Jerman kini menduduki tangga tercorot kumpulan dengan hanya satu mata daripada dua perlawanan, sekali gus berisiko sekali lagi tersingkir di pusingan pertama selepas keaiban menimpa di Rusia, empat tahun lalu.

Malah, kemenangan ke atas Costa Rica mungkin tidak cukup dan Jerman berharap Sepanyol tidak tewas kepada Jepun dalam satu lagi perlawanan untuk membuka pintu ke pusingan berikutnya.

Sepanyol kini mendahului kumpulan dengan empat mata, satu mata mengatasi Jepun dan Costa Rica yang masing-masing mengumpul tiga mata.

Jerman yang berstatus juara dunia empat kali berharap menjaringkan banyak gol ke atas Costa Rica, yang hanya melakukan satu percubaan tepat dalam dua perlawanan.

Kemenangan ke atas Costa Rica dan Sepanyol pula mengatasi Jepun akan menyaksikan Jerman mara, tetapi jika anak buah Luis Enrique seri dengan Jepun atau Jepun menang akan menyaksikan penentuan dilakukan menerusi perbezaan jaringan.

Menjaringkan gol tidak menjadi kekuatan skuad bimbingan Hansi Flick, tetapi prestasi cemerlang penyerang tengah, Niclas Fuellkrug bersama kelab dan skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu melegakan mereka.

Penyerang berusia 29 tahun itu menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Sepanyol selepas masuk sebagai pemain gantian, sekali gus menghidupkan sisa perjuangan mereka.

Dia kini menjadi pilihan terbaik di bahagian depan dan ramai penyokong serta pengulas sukan mendesak dia diturunkan dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, pembantu jurulatih, Marcus Sorg mengurangkan desakan terhadap Fuellkrug, dengan menyatakan dia bukan penyelesaian kepada masalah pasukan itu.

"Kami perlu melihat kesan yang boleh diberikan pemain pada setiap masa," kata Sorg.

"Kami perlukan struktur, kestabilan dan keselamatan. Keselamatan hadir bersama aksi konsisten."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 10:19 PM