BARISAN pemain Sepanyol ketika sesi latihan. FOTO AFP
BARISAN pemain Sepanyol ketika sesi latihan. FOTO AFP
Reuters

Doha: Pemain muda Sepanyol dalam skuad berwajah baharu kendalian Luis Enrique melakukan penampilan sulung di peringkat global tengah malam Khamis apabila mereka berdepan pasukan veteran penuh pengalaman, Costa Rica bagi aksi pertama di Piala Dunia Qatar.

Dengan kapten, Sergio Busquets satu-satunya pemain yang kekal dari skuad juara 2010 di Afrika Selatan di bawah kendalian Vicente del Bosque, Luis Enrique menyediakan pemain generasi baharu dalam persiapan ke Qatar.

Tiga tahun selepas pembentukan semula pasukan kebangsaan susulan persembahan hambar di Brazil 2014 dan Rusia 2018, ada petanda bekas bintang Barcelona dan Real Madrid itu berjaya membentuk pasukan yang mampu menggegar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pemain tengah Barcelona, Pedri, 19, Gavi, 18, serta rakan sepasukan mereka di kelab Catalunya itu, Ferran Torres, 22, adalah tiga daripada pemain muda dalam skuad Sepanyol.

Luis Enrique yang mengemudi La Roja ke separuh akhir Euro tahun lalu apabila mereka disingkirkan Itali menerusi penentuan penalti, memilih 14 pemain berusia 25 tahun ke bawah dan purata usia skuad itu ketiga paling muda dalam kalangan 32 pasukan di Qatar.

"Kami satu pasukan yang mampu beraksi lama bersama, kami amat muda," kata Torres kepada wartawan kelmarin.

Ditanya sama ada dia berasakan pasukan itu perlu membuktikan kejaguhan mereka dengan prestasi cemerlang pada kejohanan itu, Torres menegaskan Sepanyol masih dalam pembikinan.

"Kami tidak wajib untuk berakhir di kedudukan mana sekalipun. Kami hanya perlu bermain sebaik mungkin untuk mencatat keputusan dan jika boleh, kami mahu pergi jauh.

"Jika kami tidak mendapat keputusan yang dimahukan, kami tetap pulang dengan penuh bangga dan terus bekerja keras. Kami masih muda," katanya.

Bagi Costa Rica, yang beraksi pada Piala Dunia keenam mereka, gambarannya jelas sekali berbeza.

Enam daripada pemain skuad mereka beraksi pada kempen 2014, apabila Costa Rica layak dari 'Kumpulan Maut' mengetepikan Itali dan England, dan mereka kini semuanya berusia 30 tahun atau lebih, termasuk penyerang, Bryan Ruiz yang berusia 37 tahun.

Pasukan kendalian jurulatih dari Colombia, Luis Fernando Suarez itu dikenali kerana kemantapan mereka apabila hanya melepaskan lapan gol pada aksi kelayakan dan keupayaan mereka melakukan serangan balas pantas sekali gus berpotensi untuk mengancam pertahanan Sepanyol berusia 33 tahun, Cesar Azpilicueta jika dia diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 10:55 AM