KIPRE (dua, kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Kedah. FOTO Bernama
KIPRE (dua, kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Kedah. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal bangkit untuk menceriakan penyokongnya pada aksi terakhir Liga Super apabila tewas kepada Terengganu FC (TFC) 1-3 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kekalahan itu juga gagal mengubati kekecewaan Sang Kenari yang sebelum ini mengharapkan kemenangan setelah tanpa sebarang mata dalam empat perlawanan terdahulu manakala TFC mengesahkan tempat ke Piala AFC musim depan.

TFC tidak menunggu lama untuk mendahului apabila pemain sayap Faisal Halim menjaringkan gol pertama pada minit ke-4 selepas mendapat hantaran

Habib Haroon.

Kedah cuba bangkit mencari gol penyamaan menerusi pemain importnya Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-11 namun percubaannya lemah dan diselamatkan penjaga gawang TFC Suhaimi Husin.

Ketika Kedah gigih memburu jaringan, TFC berjaya menambah gol kedua pada minit ke-16 melalui penyerang Kipre Tchetche yang mendapat lorongan daripada Manuel Ott.

Kedah cuba meningkatkan serangan ke kubu TFC melalui gerakan Syazwan Zainon dan Mahmoud Al-Mardi namun gagal memecah kekebalan pertahanan pelawat.

Bermula babak kedua, TFC terus mencemaskan kubu Kedah dengan percubaan Nik Sharif Haseefy, Pape Diakite, Kipre Tchetche dan Faisal Halim masing-masing pada minit ke-51, 52, 55 dan 68 namun gagal menghasilkan gol tambahan.

Ketika Kedah masih tercari-cari gol pertama, TFC menambah luka Kedah apabila pemain import Kipre Tchetche meledak gol ketiga buat TFC pada minit ke-74 selepas mendapat hantaran pemain gantian Faiz Nasir.

Pecubaan Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-82 dan 86 juga gagal membuahkan hasil di depan lebih 3,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan ini.

Namun disebalik usaha berterusan KDA FC, satu gol akhirnya dihasil tuan rumah pada minit ke-88 melalui percubaan pemain import Dechi Marcel yang menerima hantaran Mahmoud Al-Mardi.

Kedudukan 3-1 kekal hingga ke hujung perlawanan sekaligus menyaksikan TFC menghuni tangga kedua Liga Super dan layak beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 11:28 PM