AKSI Al-Mardi mengasak penjaga gol TFC pada Oktober 2022.
AKSI Al-Mardi mengasak penjaga gol TFC pada Oktober 2022.
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bangga di atas aksi terbaik dipamerkan bekas pemain tengahnya Mahmoud Al-Mardi yang membantu pasukan Jordan mara ke final Piala Asia selepas menundukkan Korea Selatan 2-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Ahmed bin Ali semalam.

Penampilan terbaik Al-Mardi bersama Jordan sepanjang saingan Piala Asia mengimbau kembali semangat serta sumbangan diberikan kepada skuad Sang Kenari pada musim 2022.

Malah profil gambar di laman FB, dapat dilihat beliau masih memaparkan gambarnya yang memakai jersi Sang Kenari pada musim 2022 hingga kini.

Dalam status terbaru media Sang Kenari hari ini, KDA FC turut memuatnaik ucapan tahniah buat Al-Mardi di atas kejayaan dilakarnya bersama pasukan kebangsaan Jordan yang mencipta sejarah melangkah ke pentas akhir kejohanan tertinggi di Asia itu.

"Tahniah diucapkan kepada Mahmoud Al-Mardi yang membawa Jordan ke pentas akhir Piala Asia buat pertama kali. Kelibat Al-Mardi pasti dirindui penyokong Kedah. Beliau bersama rakan sepasukan mencipta sejarah layak ke final Piala Asia terutama jaringan lencong ikonik ketika menewaskan Harimau Malaya.

"Mahmoud mewakili KDA FC di musim 2022, diikat di pertengahan musim dan membantu Sang Kenari layak ke separuh akhir Zon Asean, Piala AFC 2022. Tahniah, pulun Mardi pulun di final nanti," katanya.

Selain Al-Mardi , tiga lagi pemain Jordan yang pernah beraksi dalam dalam Liga Malaysia (Liga M) ialah Noor Al-Rawabdeh, Yazan Al-Arab yang mewakili Selangor dan Fadi Awad (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 3:20 PM