PEMAIN baru KDA FC, Mahmoud. -FOTO Ikhsan KDA FC
PEMAIN baru KDA FC, Mahmoud. -FOTO Ikhsan KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melengkapkan pertukaran pemain importnya apabila mengikat pemain kebangsaan Jordan, Mahmoud Al-Mardi pada jendela perpindahan kedua bagi menghadapi saingan Piala AFC dan sambungan Liga Malaysia pada musim ini.

Mahmoud yang beraksi di posisi tengah ini adalah import kuota Asia yang masuk bagi mengisi kekosongan selepas pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk Won yang tidak lagi bersama pasukan selepas mencapai persetujuan penamatan kontrak lebih awal.

Kemasukan Mahmoud juga adalah pertukaran pemain import yang kedua buat KDA FC selepas mengikat pemain kuota Asean, Sanrawat Dechmitr dari Thailand bagi menggantikan Dennis Buschening minggu lalu.

Pengumuman kemasukan pemain itu diumumkan KDA FC pada lewat malam semalam sekali gus melegakan penyokong yang menantikan perkembangan serta persiapan Sang Kenari dalam menghadapi saingan Piala AFC musim ini.

"Selamat datang Mahmoud Al-Mardi ke kem Sang Kenari. KDA FC berjaya mendapatkan khidmatnya secara pinjaman dan aksinya akan dapat disaksikan seawal kejohanan Piala AFC 2022 di Denpasar, Bali.

"Beliau mula melaporkan diri bersama pasukan hari ini (semalam) sejurus tiba dari Jordan dan akan turut bersama pasukan ke Bali esok (hari ini).

"Pemain berusia 28 tahun ini pernah beraksi bersama kelab Al-Muharraq di Bahrain dan pemain kebangsaan Jordan sejak 2014, selain turut berjaya membantu pasukan kebangsaan Jordan untuk layak ke saingan Piala Asia 2023 baru-baru ini," katanya.

KDA FC juga turut mengumumkan pemain kelahiran Aqaba, Jordan dan pernah bersama kelab Al Jazeera di Jordan sejak 2018 hingga 2020 ini bakal memakai jersi nombor 10 bersama skuad Sang Kenari pada musim ini.

Kemasukan beliau diyakini dapat menajamkan lagi gerakan serangan Sang Kenari apabila digandingkan dengan penyerang utama Ronald Ngah Wanja yang telah meledak tujuh gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 12:47 PM