MATTHEW (kiri) menjatuhkan pemain Jordan, Yazan Al Naimat menyebabkan pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti. FOTO REUTERS
MATTHEW (kiri) menjatuhkan pemain Jordan, Yazan Al Naimat menyebabkan pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti. FOTO REUTERS
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


Doha: Kapten skuad Harimau Malaya, Matthew Davies mengakui gol awal Jordan 'membunuh' momentum pasukan sebelum tewas 0-4 pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, awal pagi tadi.

Menurutnya, gol pertama lawan yang diraih menerusi sepakan melencong Mahmoud Al-Mardi seawal minit ke-12 mengganggu perancangan pasukan.

"Gol awal itu 'membunuh' pasukan dan kami sebenarnya boleh memperagakan permainan lebih baik lagi.

"Bukan hanya keputusan, tapi mutu persembahan turut mengecewakan kami. Kami agak terlalu agresif dalam memberi tekanan di atas.

"Sukar untuk melihatnya di atas padang dan kami akan menganalisisnya, kemudian lihat apa yang boleh dilakukan," katanya selepas aksi itu.

Dalam aksi itu, Jordan mendahului tiga gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Al-Mardi di minit ke-12 sebelum Mousa Al-Taamari menambah gol kedua di minit ke-18 menerusi sepakan penalti selepas Matthew mengasari pemain lawan.

Al-Mardi yang pernah menabur bakti di Kedah pada musim 2022 menambah gol ketiga (m-32) dan Al-Taamari turut mencetak gol peribadi keduanya di hujung permainan babak kedua.

"Kami akan menghadapi perlawanan seterusnya dalam lima hari lagi. Kami perlu bangkit untuk memburu keputusan positif," katanya.

Malaysia akan menentang Bahrain pada Sabtu ini sebelum bertemu Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan, Khamis depan.

Berita berkaitan:

Yazan tak berniat balas dendam terhadap FAM

Faisal kecewa gagal beri impak bantu Harimau Malaya

Perjuangan belum berakhir, pemain perlu segera bangkit - Pan-gon

Pemain gugup, saya mohon maaf- Pan gon

Harimau Malaya lesu 'dibalun' Jordan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 9:18 AM